Siakap Keli
Kredit: Google

Mekanik Dipenjara 18 Bulan, Terima Telefon Bimbit Hasil Rompakan

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) — Gara-gara menerima sebuah telefon bimbit hasil rompakan berkumpulan, seorang mekanik dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan bapa anak tiga itu diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 26 Mac lepas.

Tertuduh didakwa dengan curang menerima secara tidak jujur sebuah telefon bimbit milik pengurus bangunan Abu Bakar Che Mat, 63, yang tertuduh mengetahui atau ada sebab munasabah untuk mempercayai bahawa telefon bimbit itu adalah hasil rompakan berkumpulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tengah 3 Kampung Tengah 6 1/4 Jalan Gombak di sini kira-kira 5 petang, 26 Mac mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira keseriusan kes serta kerugian dialami mangsa manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menanggung tiga anak selain menyesal atas kesalahan itu.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 Jan lepas semasa mangsa (Abu Bakar) berada di atas motosikal di tepi jalan dan sedang bercakap di telefon bimbitnya, tiba-tiba datang dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal lalu mengambil telefon bimbit milik mangsa.

Pihak polis kemudian telah pergi membuat tangkapan di kawasan kejadian dan tertuduh ditahan selepas mendapati dia menyimpan harta rompakan iaitu sebuah telefon bimbit milik mangsa.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.