Siakap Keli
Gambar: MP Selayang

Peniaga Tak Patuh Jarak Antara Khemah & Gagal Patuh SOP, Bazar Ramadan Greenwood Di Gombak Diarah Tutup

Siapa sangka, dalam kita tengah sibuk beratur bersesak-sesak di bazar Ramadan untuk mencari juadah idaman hati, tiba-tiba datang sepasukan pihak berkuasa melaksanakan tugas hakiki.

Sudahlah badan ‘letih’ menahan lapar dan dahaga dari pagi tadi, tiba-tiba dapat satu arahan daripada pihak berkuasa yang mengubah suasana. Tanpa disangka, tanpa diduga.

Demikianlah yang terjadi di Bazar Ramadan Greenwood di Gombak hari ini apabila pegawai petugas Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah ‘berkunjung tiba’ ke sana untuk menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun segala kemeriahannya bagai terhenti apabila bazar Ramadan tersebut didakwa gagal mematuhi SOP yang ditetapkan. Akhirnya, bazar itu telah diarah tutup oleh MPS selama empat hari, bermula 22 April esok sehingga 25 April ini.

Gambar: MP Selayang

Tiga kesalahan punca diarah tutup

Berdasarkan kenyataan MPS di laman Facebooknya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah para peniaga tidak mematuhi jarak antara khemah serta  kawalan arah keluar dan masuk tidak dipatuhi sepenuhnya.

Tidak kurang juga, ada peniaga yang dikesan menjual barangan selain daripada makanan dan minuman bermasak. Disebabkan ketiga-tiga kesalahan ini, bazar ini terpaksa ‘dijedakan’ dahulu selama empat hari.

“MPS ingin mengingatkan kepada para pengunjung dan peniaga agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan agar penularan wabak COVID-19 dapat diatasi,” maklum kenyataan tersebut.

Semoga apa yang berlaku ini dapat dijadikan pengajaran di bazar-bazar di lokasi lain. Selamat berbuka puasa semua.

Gambar: MP Selayang

Sumber: Majlis Perbandaran Selayang

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'