Siakap Keli

(Video) “Doakan Saya Kuat…” Bangkit Dari ‘Sakit’ Lepas Kemalangan, Datuk Nash Lefthanded Ucap Terima Kasih Buat Semua

Baru-baru ini, penyanyi ‘lejen’ tanah air ketika di zaman 90an yang terkenal dengan irama ‘rock kapak’ ketika itu, Datuk Nash Lefthanded terlibat dalam satu kemalangan di Seremban, Negeri Sembilan.

Difahamkan, segalanya berlaku apabila Toyota Harrier yang dinaiki bersama pemandunya melanggar lopak air sebelum hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

Malang itu memang tidak berbau. Namun benarlah kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal. Alhamdulillah syukur tiada kecederaan serius yang dialami beliau dan pemandunya.

BACA: Penyanyi Terkenal, Datuk Nash ‘Lefthanded’ Cedera Kemalangan

Berdasarkan kenyataan polis dalam laporan BERNAMA semalam, Datuk Nash mengalami luka pada muka dan sakit dada, manakala pemandunya pula hanya mengalami luka-luka ringan.

Tidak sampai 48 jam, Datuk Nash sudah boleh bingkas dan ‘kembali’ menemui peminatnya menerusi laman Facebook. Hari ini, beliau menulis sedikit ucapan penghargaan buat semua yang terlibat sepanjang ‘lenanya’ dalam wad hospital.

Terima kasih buat semua

Gambar: FB Datuk Nash

Assalamualaikum WBT buat semua kenalan sahabat dan seluruh ummat yang memberikan sokongan dan bantuan mahupun kata-kata semangat dan doa atas apa yang berlaku pada diri saya baru-baru ini, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik kalian.

Buat pegawai & kakitangan ambulance APM yang berusaha membawa saya ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban, tidak terbalas jasa baikmu.

Kepada seluruh kakitangan HTJ khususnya doktor pakar, doktor-doktor dan seluruh warga Wad 5 yang sangat membantu begitu baik dan mesra, tiada perkataan sebaik mungkin yang ingin diungkapkan.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa baikmu.. Semoga di bulan Ramadan yang penuh barakah ini, Allah SWT pelihara kita semua dengan segala kebaikan.

Aamiin Ya Rabbal A’lamin..

Gambar: FB Datuk Nash

Sesuai sedar, pemilik suara ’emas’ yang menyanyikan lagu Pada Syurga Di Wajahmu ini turut diziariahi oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah siang tadi.

Sementara itu, di laman Facebook yang satu lagi iaitu Dato Nashrudin Elias, terdapat beberapa hantaran berupa video yang di’tag’ oleh rakan FB nya. Walaupun kelihatan penat, beliau tetap tenang berbicara.

Semoga Datuk Nash kembali sihat seperti sediakala. InsyaAllah segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jaga diri baik-baik datuk, kami semua ada di sini mendoakanmu.

Sumber: FB Nash Lefthanded / FB Dato Nashrudin Elias

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'