Siakap Keli
Gambar: Kapal selam KRI Nanggala-402 yang dilaporkan hilang.

“Baru Minta Izin Menyelam, Terus Terputus Hubungan,” ‘Blackout’ Dipercayai Punca Kapal Selam Gagal Dikesan

Kapal selam milik Tentera Laut Indonesia (TNI), KRI Nanggala-402 yang membawa 53 anak kapal hilang dipercayai kerana mengalami black out setelah diberi kebenaran untuk menyelam.

”Mereka baru meminta izin menyelam, setelah diberi clearance, terus terputus hubungan,” kata Panglima TNI, Marsekal Hadi Tjahjanto, kepada Tribunnews.

Setakat ini, kapal yang hilang dari utara Bali pada Rabu kira-kira jam 3 itu dipercayai berada di perairan kira-kira kedalaman 700 meter.

Berdasarkan maklumat yang diterima oleh Tribunnews, KRI Nanggala-402 disyaki tidak dapat menjalankan prosedur kecemasan ketika black out berlaku.

Untuk makluman, kapal selam mempunyai butang kecemasan untuk mendorong kapal ke permukaan apabila menghadapi masalah.

Selain daripada black out, kemungkinan tangki bahan bakar KRI Nanggala-402 juga telah retak akibat tekanan air laut.

Ianya berdasarkan kesan tumpahan minyak yang ditemui di sekitar kawasan tenggelam KRI Nanggala-402 oleh pasukan pencari.

”Melalui pemerhatian udara dengan helikopter pada jam 7 pagi (waktu Indonesia), tumpahan minyak ditemukan di sekitar kawasan awal penyelaman,” menurut kenyataan rasmi Biro Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan.

Sehingga kini, pencarian masih dilakukan dengan menghantar KRI Rigel dari Dishidros Jakarta dan KRI Rengat dari Satuan Ranjau untuk membantu pencarian menggunakan side scan sonar.

Dalam pada itu, Indonesia turut meminta bantuan Singapura dan Australia bagi membantu usaha mencari KRI Nanggala-402.

“Kita selama ini memang mempunyai kerjasama dengan kedua-dua negara mengenai pencarian berkaitan dengan kemalangan semasa latihan,” kata Hadi.

Dilaporkan, KRI Nanggala-402 pada awalnya dijadualkan akan mengambil bahagian dalam latihan menembak peluru berpandu di laut Bali pada hari ini.

Kapal Selam Nanggala atau KRI Nanggala-402 dibuat di Jerman pada tahun 1977 sebelum diserahkan kepada Angkatan Laut Indonesia pada tahun 1981.

Pada tahun yang sama, KRI Nanggala-402 secara rasmi menjadi sebahagian daripada alat sistem pertahanan utama Indonesia.

Kapal selam ini mendapat panggilan nama ‘raksasa bawah laut’ semasa latihan operasi laut pada 8 April sehingga 2 Mei 2004 berikutan kemampuan KRI Nanggala-402 untuk menembak torpedo.

Pada masa itu, KRI Nanggala-402 berjaya menenggelamkan KRI Rakata yang dijadikan sasaran untuk menembak semasa latihan.

KRI Nanggala-402 juga diketahui aktif menjalankan sejumlah misi untuk menegakkan kedaulatan, undang-undang dan keamanan di laut.

Sumber: Tribunnews

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.