Siakap Keli
Gambar: Ustazah Asma' Harun

Dah 3 Tahun Peluk Islam, Hidup Bersendiri & Bawa Teksi Sara Diri, Ustazah Asma’ Harun Kongsi Kisah Bertemu Pakcik Mualaf

Ramadan ini menjadi ‘medan pertemuan’ antara kita dan umat Islam yang lain. Bertemu pada banyak waktu, sama ada di tempat kerja, di masjid, di bazar Ramadan hatta di saf solat tarawih.

Namun pertemuan bersama seseorang yang dianggap baik, soleh dan dipercayai jauh daripada segala kemungkaran juga boleh dikira satu rezeki.

Begitulah seperti yang dikongsikan oleh pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun di Facebooknya hari ini apabila beliau berpeluang bertemu dengan seorang lelaki warga emas yang juga merupakan muallaf.

Nak ketahui lebih mendalam, jom hayati kisah perkongsian di bawah ini.

Seindah senyumanmu..

Gambar: Ustazah Asma’ Harun

SubahanAllah.. Pakcik Mikhail Fan bin Abdullah, adalah muallaf bangsa Cina, masuk Islam 3 tahun lalu pada tahun 2018. Berumur 63 tahun, tiada saudara mara, menyara hidup dengan memandu teksi.

Pakcik Mikhail selalu hadir ke tempat kami untuk belajar al-Quran, fardhu ain, berbuka puasa sama dan solat jemaah terawikh.

Seorang yang sangat disenangi, menceriakan suasana, orangnya segak dan paling utama sangat suka senyum dan angkat tangan sebagai tanda menegur.

Malam ini, beliau datang dengan baju Melayu berwarna pink, namun bila dilihat dekat-dekat, bajunya dah koyak ada berlubang-lubang kecil, begitu juga seluarnya.

Gambar: Ustazah Asma’ Harun

Bila ditanya, katanya: “Ini baju yang saya ada dan saya suka, sudah 3 tahun lebih selalu pakai jadi ini macam laaa, Najib pun ada sama macam ini..”

Gelak saya mendengarnya.

Terus saya ajak Pakcik Mikhail ke galeri yang terletak selang 2 lot daripada dewan solat kami.

Bila masuk je, wajah beliau sungguh ceria, senyum memanjang, saya minta beliau pilih 2 pasang apa sahaja jenis dan warna yang berkenan, akhirnya sepasang baju Melayu dan jubah mengikut pilihan hatinya.

Pakcik Mikhail tak henti² mengucapkan terima kasih, wajah yang sangat gembira bahagia. Namun sungguh, kita yang memberi jauh lebih bahagia, moga di akhirat sana juga bahagia.

Gambar: Ustazah Asma’ Harun

Tuan Puan,

Sebenarnya hampir setiap hari, Galeri UAH memberi hadiah serupa ini kepada asnaf yang datang. Dulu, saya selalu terusik hati sayu bila berjumpa dan lihat asnaf yang memakai pakaian yang lusuh dan rosak.

Namun kini, saya rasa sangat bersyukur, bila Allah maqbulkan hajat untuk membina butik pakaian seperti hari ini. Seawal mula operasi saya terus memaklumkan hajat ingin meletakkan gerobok asnaf di tepi galeri. Mereka yang mampu atau sebaliknya keduanya adalah TETAMU ISTIMEWA.

ASMA’ BINTI HARUN
#UAHSahabatDuniaAkhirat

Gambar: Ustazah Asma’ Harun

Sumber: FB Ustazah Asma’ Harun

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'