Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Bernama

Lelaki Pukul Penghantar Makanan Ditahan

GEORGE TOWN, 22 April (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki malam tadi bagi membantu siasatan kerana disyaki memukul penghantar makanan menggunakan penukul besi di kepala mangsa dalam kejadian di pekarangan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki berumur 31 tahun yang merupakan penganggur itu ditahan di rumahnya pada 11.15 malam bagi membantu siasatan dan polis turut merampas penukul besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk memukul mangsa.

“Dalam kejadian 4.10 petang Selasa itu, penghantar makanan berusia 40 tahun berkenaan berada di pekarangan pangsapuri untuk menghantar makanan yang ditempah isteri kepada suspek dan lelaki itu menunggu lama di situ kerana wanita tersebut tidak turun mengambil tempahannya.

“Lelaki itu bertindak menghubungi wanita berkenaan beberapa kali bagi memaklumkan bahawa dia sudah tiba di lokasi, namun panggilan tidak dijawab sebelum dia (wanita) datang bagi mengambil makanan 10 minit kemudian dan penghantar makanan berkenaan beredar pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata kira-kira 20 minit kemudian mangsa dihubungi suami wanita itu, kononnya mahu memulangkan semula makanan dan sebaik tiba di pekarangan pangsapuri tersebut, berlaku pertengkaran antara mereka malah suspek menuduh penghantar makanan tersebut memarahi isterinya.

Soffian berkata berikutan berang, suspek bertindak memukul kepala penghantar makanan itu menggunakan penukul besi sehingga menyebabkan kecederaan dan mangsa menerima sembilan jahitan pada kepala akibat kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan lelaki yang memukul penghantar makanan itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan, kes disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain di Butterworth, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki yang memandu secara melawan arus sehingga bertembung dengan kenderaan dinaiki tiga beranak di Kilometer (KM) 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Bagan Ajam di sini minggu lepas, meninggal dunia tengah malam tadi.

Katanya, lelaki berusia 43 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 12.30 tengah malam selepas seminggu menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan laporan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah serta kegagalan pelbagai organ berfungsi susulan impak kemalangan berkenaan.

Dalam kemalangan 8.20 malam 14 April lepas, lelaki itu yang memandu kereta jenis Honda City secara melawan arus merempuh sebuah kereta Toyota Corolla Altis dinaiki tiga beranak dan sebuah motosikal.

Nahas menyebabkan penumpang wanita berusia 31 tahun di dalam Toyota Corolla Altis itu meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di HSJ manakala suami dan anak wanita tersebut dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Georgetown untuk rawatan lanjut.

Pemandu kereta dilanggar berusia 35 tahun itu dilaporkan stabil manakala anak perempuannya berusia tiga tahun sudah dibenarkan keluar wad.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story