Siakap Keli

Aktiviti Rentas Negeri Tetap Tidak Dibenarkan- Ismail Sabri

Disebabkan oleh trend peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa hari yang lalu, aktiviti rentas negeri tetap tidak dibenarkan bagi mengelakkan penularan virus tersebut.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa salah satu penyebab bagi peningkatan kes harian adalah berpunca daripada pergerakan rentas negeri.

“Sejak Disember 2020 sehingga 20 April 2021, KKM telah merekodkan 38 kluster rentas negeri melibatkan 5,471 kes secara keseluruhan. Malah, pada bulan April sahaja, sebanyak 7 kluster rentas negeri yang melibatkan 423 kes telah direkodkan,” katanya.

Beliau juga memberikan contoh kes yang pernah direkodkan oleh KKM iaitu kes-kes tertinggi iaitu Kluster Pasai dengan 2,693 kes yang merebak di beberapa kawasan di Sarawak.

“Ianya berpunya daripada seorang warga Sarawak yang balik ke kampung pada waktu Krismas dan akhirnya merebak di seluruh Sarawak,” katanya.

Tambahnya, kluster rentas negeri juga bukan sahaja menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 di kawasan zon hijau malah aktiviti pulang ke kampung seperti menghadiri  majlis-majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti  warga emas dan kanak-kanak.

“Sehubungan dengan data kes yang tinggi berkaitan dengan rentas negeri, maka, KKM dan MKN menetapkan bahawa pergerakan rentas negeri perlu diperketatkan.

“Kami bersetuju bahawa aktiviti rentas negeri kekal tidak dibenarkan. Walaupun keputusan ini tidak disukai oleh rakyat tetapi tindakan ini perlu dilakukan bagi menyekat penularan COVID-19,” katanya.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh beliau menerusi sidang media sebentar tadi.

Sumber: Majlis Keselamatan Negara

Sofea

There's always another side to every story