Mungkin ada yang tidak sedar bahawa terdapat banyak lokasi di negara ini yang menyimpan pelbagai sejarah tersendiri. Walaupun sesetengah lokasi telah bertukar wajah dek ditelan zaman namun ia tetap mempunyai ‘cerita’ yang menarik untuk ‘dibongkar’.
Tidak cuma itu, lokasi tersebut juga pasti menyingkap rasa nostalgia buat orang-orang terdahulu seperti ibu bapa kita yang mungkin sempat merasainya.
Seperti yang dikongsikan oleh Raimin Mustapa ini, dia memaparkan beberapa gambar lama di terminal lapangan terbang Telupid, Sabah sekitar tahun 1970-an.
Suasana di dalam gambar itu pastinya menjentik kembali memori yang pernah dilalui olehnya dan rakannya ketika waktu itu.
Beserta dengan nostalgia itu, Raimin juga ada berkongsikan serba sedikit mengenai sejarah lapangan terbang Telupid itu.
Ikuti perkongsiannya di bawah ini.
AIRPORT TELUPID
Tuan Edros Salinor share gambar lama yang penuh nostalgia, terminal lapangan terbang Telupid yang masih lawa. Kemudian gambar rakan sekelas saya Jose C James bersama keluarga di terminal sekitar 1970an dan gambar rakan kelas sebelah Hassan Birikok, adalah saki baki terminal “airport Telupid” sekitar tahun 1980an. Sekarang tempat ini sudah menjadi kawasan tamu, pasar dan Masjid Yusuf al-Qaradhawi Daerah Telupid.
SEDIKIT MENGENAI SEJARAHNYA
Dalam laporan tahunan koloni Borneo Utara 1959, terdapat dua rancangan untuk menghubungkan Telupid dengan wilayah lain seperti Residensi Sandakan dan Ranau. Rancangan tersebut ialah pembinaan “earth road” (kemudian jalan gravel) yang menghubungkan Batu 18 Sandakan ke Telupid, kira-kira jarak sejauh 60 batu (97 KM). Kedua ialah pembinaan airstrip atau lapangan terbang di Telupid pada tahun 1960.
Manakala laporan Tahunan 1960, berdasarkan laporan yang disediakan oleh ahli ekonomi dari Universiti Oxford, J.R Sargent, pembangunan jalan raya dilihat amat penting, maka satu kertas putih telah dibentang dan diluluskan oleh Majlis Perundangan pada bulan julai 1960.
Antaranya ialah rancangan lima tahun pembinaan jalan raya dari batu 18 ke Telupid, sekitar kawasan Sungai Labuk, kemudian disambung sehingga ke Ranau. Dalam tahun 1960, Kerja-kerja pembinaan jalan Sandakan-Telupid telah pun berjalan sehingga ke Batu 32 disamping lapangan terbang (grass airstrip) Telupid turut disiapkan kira-kira lebih empat bulan bagi membolehkan kerja-kerja mengukur, menurunkan pekerja dan peralatan dilakukan. Panjang landasan ini ialah 1,700 kaki (518 meter) bagi membolehkan kapal ringan seperti Scottish Aviation Twin Pioneer aircraft mendarat dibawah pengendalian syarikat Borneo Airways Limited. Dana yang diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya ialah sebanyak $ 1,350,000.00
Semasa zaman projek Malaysia-Australia Road Project (MARP), kemudiannya dibawah pentadbiran Daerah Kecil Telupid dan JKR Telupid, lapangan terbang ni terus digunakan, antaranya bagi tujuan pembayaran gaji kakitangan. Maklumlah duit banyak, adalah lebih selamat duit gaji dihantar menggunakan kapal terbang ringan atau helikopter.
RUJUKAN


