Pemergian 53 kru kapal selam KRI Nanggala 402 milik negara jiran serumpun, Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih lagi ‘menghantui’ kita. Mana tidaknya, dalam tempoh 72 jam, mereka bergelut cemas antara masa dan nyawa.
Namun sudah tercatat dalam takdir, mereka akhirnya pergi jua bertemu Ilahi. Mungkin bagi kita, tiada apa yang mereka tinggalkan selain cebisan mayat, sejadah dan bangkai kapal. Namun hakikatnya, 53 insan ini bertuah kerana meninggal dunia dalam bulan yang mulia.
Sudah namanya tentera, sudah tentulah sudah cukup terlatih dengan segala cabaran mental dan fizikal. Namun sebagai manusia biasa, keupayaan mereka juga terhad lebih-lebih lagi berhadapan dengan ‘musuh’ semulajadi, iaitu lautan dalam.
Sehubungan itu, seorang pengamal perubatan yang aktif terlibat secara langsung dengan aktiviti selaman di lautan, Dr. Hafez Iftiqar Termizi (gambar) hari ini berkongsi tentang ‘ketakutan’ menyelam di lautan yang dipercayai dihadapi kesemua 53 kru tersebut.
Selaku lulusan bidang perubatan dan pembedahan dari Monash University, Australia, Dr. Hafez menerangkan secara terperinci isu ini daripada sudut perubatan. Mari ikuti perkongsian ini.
Belasungkawa KRI Nanggala, tentang laut dan perubatan ‘Hyperbaric’

1. Perginya krew KRI Nanggala adalah dalam bulan baik dan ketika berbakti kepada negara. Semoga mereka digolongkan sebagai para shahid dan diberikan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.
2. Mengingati Indonesia, sebuah negara dengan ribuan pulau mengingatkan saya tentang khazanah laut yang indah yang terdapat di dalam segitiga karang dunia. Saya sendiri dan isteri bergelar ‘Certified Open Water PADI Diver’ selepas melakukan selaman di Laut Halmahera, Raja Ampat, Papua Barat, Indonesia.


3. Semalam, antara yang ditemukan dalam operasi menyelamat di Laut Bali ialah baju keselamatan yang membuktikan krew cuba menyelamatkan diri sewaktu KRI Nanggala tenggelam. Membayangkan suasana panik krew KRI Nanggala sebelum tewas waktu itu terasa seram sejuk. Saya langsung mengingati filem dokumentari ‘Last Breath’ dan merasai suasana panik Chris Lemon yang hampir maut di North Sea sewaktu melakukan selaman dan terbelit pada struktur besi 100 m di bawah laut.
4. Ketakutan menyelam di laut ada tiga. 1. KEGELAPAN. 2. TEKANAN AIR. 3. KESEJUKAN MELAMPAU.
5. Quran menceritakan tentang gelap gelita di lautan dalam – ‘gelap gelita yang bertindih-tindih (lapisan demi lapisan)’ sehingga jika diletakkan tangan sendiri di hadapan muka pun tidak kelihatan (An-Nur, 40). Melepasi 200 m dalam, cahaya jadi semakin suram dan menggelap. Setiap kali menyelam, ternampak sahaja jurang gelap di dasar laut cukup menjadikan hati takut.

6. Kegelapan ini menyebabkan kita tidak tahu sama ada kita berenang ke atas, ke bawah atau ke tepi. Seolah-olah memejam mata. Ini menjadikan kita panik, bernafas laju dan menyebabkan oksigen dalam tabung oksigen digunakan dan habis dengan sangat cepat. Lebih memburukkan keadaan, laut mempunyai arus yang tersendiri yang boleh menghanyutkan.
7. Kesejukan melampau dalam istilah perubatan dipanggil hypothermia. Badan berfungsi dengan baik sekitar suhu 36. Bila suhu mencecah 28 darjah, seseorang boleh tidak sedarkan diri. Air menghilangkan suhu dari badan 20 kali lebih laju dari udara. Pada suhu air 0 darjah Celcius, hanya perlu antara 15-45 minit untuk seseorang menjadi tidak sedar (unconscious). Mandi di pantai pun boleh menyebabkan kesejukan, inikan pula 800 m di bawah air.

8. Istilah ‘hyperbaric medicine,’ lahir dari wujudnya tekanan yang dikenakan air. Tekanan air menimbulkan masalah sewaktu sedang menyelam juga sewaktu berenang ke atas untuk timbul di permukaan. Antara pantang larang menyelam ialah menahan nafas (never hold your breath!) dan timbul dengan terlampau cepat (rapid ascents).
9. Semakin dalam kita menyelam, semakin kuat tekananan air yang ditanggung badan. Standard selaman ‘recreational diving’ sekitar 18m, itu pun ada yang pernah pecah gegendang telinga atau pecah kapilari mata (subconjunctival haemorrhage, mask squeeze). Nasib kapal selam yang perlahan-lahan tenggelam ke kedalaman 800m ialah perlahan-lahan meretak disebabkan tekanan air ini.


10. Paru-paru manusia mempunyai udara, dan udara mengembang dan menguncup bergantung kepada tekanan persekitaran. Menyelam boleh menyebabkan ‘pulmonary barotrauma’ apabila penyelam timbul terlalu cepat atau menahan nafas sewaktu selaman. Udara yang terperangkap dalam paru-paru dan salur darah akan mengembang dan menyebabkan ‘gas embolism’ (udara yang menghalang pengaliran darah) yang mengakibatkan masalah seperti ‘stroke’ dan ‘serangan jantung’ dan paru-paru meletup/bocor (pneumothorax).
11. Begitulah manusia, ditentukan Tuhan untuk hidup pada had dan julat tertentu. Innalillah wa inna ilahirojiun. Dari Tuhan kita datang, kepada Tuhan kita kembali.
Dr Hafez Iftiqar Termizi
Sumber: Dr. Hafez Iftiqar Termizi