Siakap Keli

(Video) Ramai Yang Tanya Kenapa Kru KRI Nanggala Tak Keluar Dari Kapal Selam & Berenang Ke Permukaan? Tak Semudah Itu, Ini Penjelasannya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan tragedi sadis kapal selam Tentera Nasional Indonesia (TNI), KRI Nanggala 402 yang terputus hubungan dan tenggelam.

Benar, malang itu memang tidak berbau. Gara-gara kapal tersebut mengalami gangguan bekalan elektrik, kewujudannya ‘hilang’ dari radar. Akibatnya, ia mulai tenggelam perlahan-lahan..tanpa isyarat, tanpa panggilan kecemasan.

Bekalan oksigen yang ada hanyalah mampu bertahan selama 72 jam sahaja. TNI menjangkakan hayat KRI Nanggala akan berakhir pada 3 pagi Sabtu dan sekiranya tetap gagal ditemui, tiada apa lagi boleh diharapkan melainkan maut yang menyambut.

Pencarian demi pencarian dijalankan hasil kerjasama pelbagai negara atas nama kemanusiaan. Namun ternyata Allah lebih sayangkan mereka, maka 53 kru yang tersepit antara hidup dan mati, akhirnya tumbang ke bumi dan pergi menghadap Ilahi.

Pencarian berakhir apabila pihak penyelamat menjumpai bangkai KRI Nanggala yang dilapor patah tiga. Hancur, lebur, musnah ditelan lautan dalam yang menghimpit rakus. Tiada ucapan selamat tinggal, hanya cebisan sejadah menjadi ‘nisan’ di pusara wira-wira negara ini.

Kenapa mereka tak keluar selamatkan diri?

Sebagai orang awam, mungkin kita terfikir tentang isu ini; kenapakah kesemua kru itu tidak bertindak pantas keluar dari kapal selam untuk selamatkan diri? Bukankah mereka dilengkapi sut keselamatan?

Nampak mungkin macam senang, namun hakikatnya ia tidak semudah yang difikirkan. Inilah yang dijelaskan oleh pengguna Twitter, Abdul Razak yang menerangkan secara saintifik kenapa mereka tidak boleh keluar dari kapal tersebut.

Mari ikuti perkongsian ini.

Gambar: Abdul Razak

 

 

 

 

Ciapan ini mendapat perhatian hangat oleh kalangan netizen, rata-rata baru ‘tersedar’ bahawa keluar dari kapal selam di bawah paras yang terlalu dalam serta panik bukanlah solusinya.

Sementara itu, ada juga netizen lain yang turut berkongsi beberapa info dan video untuk perkongsian tambahan. Salah satunya adalah daripada Affiq, dia menjelaskan tentang perumpamaan bebanan 826 tan.

Berbalik kepada isu kenapa mereka tidak mahu keluar, ada netizen bertanya, kenapa tidak saja keluar cepat-cepat walaupun baru setakat 300 meter. Namun persoalan tersebut dijawab kembali.

Bagi siapa yang meminati rancangan dokumentari, mesti pernah tonton Mythbusters di Discovery Channel di Astro. Kumpulan pengkaji mitos ini pernah jalankan eksperimen bagaimana keadaan seorang penyelam (ketika dulu-dulu) yang memakai sut besi yang mengalami kebocoran.

(Nota: video diatas dirakam 10 tahun lepas mengenai tekanan dibawah laut)

Hasil eksperimen menunjukkan, mereka berada di lautan dalam dan berlaku kebocoran pada sut tersebut, automatik tekanan udara yang ada akan ‘menyedut’ tubuh penyelam. Dalam sekelip mata, seluruh tubuh yang sempurna tadi akan kemek dan hancur disedut udara.

Selain itu, ada juga yang bertanya, bagaimana pula dengan hidupan di lautan dalam? Macam mana ia boleh hidup sedangkan kita sendiri terdedah kepada bahaya di sana. Namun ada jawapan yang diberikan bagi persoalan ini.

Satu lagi perkongsian oleh netizen adalah tentang satu video grafik 3D yang memaparkan bagaimana situasi kejadian pereputan kapal selam tersebut.

Walaupun sekadar visual grafik, namun video berdurasi 1 minit 49 saat ini memberi gambaran sebenar terhadap apa yang berlaku ke atas KRI Nanggala. Ianya telah ditonton lebih 95,000 kali setakat ini.

Ngeri, trauma dan sedih. Tidak mampu dikatakan apa-apa akan segala yang terjadi. Mereka diuji dengan dugaan tidak dijangka, tanpa sempat meminta tolong pada siapa-siapa.

Semakin dalam, semakin sayup suara cemas berganti lafaz tawakkal. Apa yang terucap mungkin hanyalah dua kalimah syahadah sebagai pengakhir bicara. Tanpa sempat menatap wajah keluarga tersayang buat kali terakhir, mereka akhirnya pergi buat selama-lamanya.

Dunia bukan lagi pelabuhan yang menyambutmu pulang, namun Tuhan gantikan dermaga di syurga yang bakal menjelang. Salam takziah buat 53 kru KRI Nanggala 402.

Sumber: Twitter Abdul Razak

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'