Siakap Keli
Gambar: Kompas

Pakar Kapal Selam Jelaskan 3 Faktor Ini Mungkin Jadi Punca KRI Nanggala Tenggelam 850 Meter

Pakar kapal selam dari Institut Teknologi Sepuluh November (ITS) Surabaya, Wisnu Wardhana menjelaskan tiga (3) faktor yang mungkin menjadi penyebab KRI Nanggala 402 boleh tenggelam sedalam 850 meter di perairan Bali.

Ketiga-tiga faktor tersebut adalah kemungkinan ‘air ballast’ yang sepatutnya berupaya dapat mengatur ketinggian penyelaman kapal tidak berfungsi, ‘hydroplane’ atau sayap di badan kapal yang tidak berfungsi serta rosaknya ‘pressure hull’ yang membuatkan kapal itu hancur kerana tekanan air.

“Kapal itu hancur kerana ‘pressure hull’ nya ditekan dengan tekanan hidrostatik yang empat kali lebih besar; kerana dari 200 meter dalam (yang sepatutnya) menjadi 800 meter. Makanya ‘pressure hull’ nya pecah,” katanya, memetik laporan CNN Indonesia.

Usia 40 tahun

Dalam pada itu, usia kapal selam itu juga menyumbang kepada tragedi tersebut kerana difahamkan, usianya kini sudah menjangkau kira-kira 40 tahun.

Ketika sekitar 80an dahulu, pada asalnya kapal buatan Howaldtswerke, Kiel di Jerman itu direka dengan kemampuan menyelam pada kedalaman 300 meter.

Namun tahun demi tahun seiring bertambahnya usia, kini ‘kekuatan’ kapal itu untuk menyelam hanyalah pada kedalaman 200 meter sahaja.

Bagaimanapun ketika ia tenggelam pada yang kedalaman yang melebihi had sepatutnya (200 meter menjadi 800 meter), struktur pelindung kapal di luar dan ‘pressure hull’ yang berbentuk telur itu hancur kerana tekanan hidrostatik.

Gambar: Researchgate/Google

“Kalau tekanan semakin meningkat maka terus pecahlah telur itu. Kalau pecah, maka tekanan air dari luar akan ‘menerjah’ masuk dan ‘menyerang’ manusia yang ada di dalam ‘telur’ itu.

“Jadinya barang-barang yang ada dalam Nanggala itu serta-merta akan terkeluar semua. Itu menunjukkan bahawa ‘pressure hull’ telah pecah,” tambahnya.

Jelasnya, lapisan kalis tekanan yang menyerupai telur itu direka dengan kemampuan satu atmosfir. Jika ditekan dari luar dan melebihi kemampuan maksimum, maka ia akan pecah.

Tiada kotak hitam seperti kapal terbang

Dalam pada itu, setiap kapal selam tidak memiliki teknologi yang dapat merakam perjalanan serta percakapan manusia di dalamnya seperti kotak hitam (black box) dalam kapal terbang.

Umumnya kotak hitam yang dipasang dalam kapal terbang adalah bertujuan untuk merekod perjalanan dan bunyi, sekaligus dapat membantu pihak penyelamat merungkai apa yang terjadi sekiranya berlaku kemalangan.

“(Sebaliknya) siasatan hanya mampu dijalankan apabila bangkai kapal selam KRI Nanggala 402 itu sudah dibawa ke darat. Daripada rangka dan serpihan yang ditemui itulah, baru dapat dikenalpasti apa yang terjadi pada kapal selam milik Tentera Nasional Indonesia itu.

“Saya tidak tahu apakah ada seperti kotak hitam dalam kapal selam. Tapi selama saya mengkaji tentang kapal selam, saya tidak pernah menemuinya,” katanya lagi.

Sumber: CNN Indonesia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.