ALOR SETAR, 28 April – Tiga lelaki warganegara Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup 71 ekor ayam sabung dan 40 ekor burung murai batu menggunakan sebuah bot di perairan Langkawi, tengah malam semalam.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata bot tersebut dikesan di kedudukan 2.1 batu nautika, barat laut Pulau Anak Datai, Langkawi yang dipercayai dalam perjalanan dari Thailand menuju ke Indonesia.
“Hasil maklumat risikan serta pengesanan daripada radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), sebuah bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman serta Op Benteng telah diatur gerak ke lokasi tersebut.
“Sebuah bot fiber berwarna hijau tanpa nombor pendaftaran kemudian berjaya dikesan sekitar jam 11.25 malam Isnin lalu, sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan menghala keluar dari perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, bot tersebut berjaya dipintas sekitar 12.30 tengah malam semalam dan didapati tiga lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 35 hingga 42 tahun berada di atas bot berkenaan.
Mohd Zawawi, pemeriksaan lanjut pihaknya ke atas bot itu menemukan 71 ekor ayam sabung yang diletakkan di dalam 60 kotak, 40 ekor burung murai batu di dalam tiga sangkar, 20 tong petrol, serta 533 pokok kaktus pelbagai saiz.
Katanya, kesemua suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Tambah beliau, aktiviti penyeludupan ayam sabung dan burung Murai Batu dilihat rancak berikutan mendapat permintaan tinggi di Indonesia dan dijual pada harga yang mahal di pasaran negara tersebut.
“Ayam sabung boleh mencecah hampir RM10,000 (35 juta Rupiah) seekor, manakala burung murai batu harganya boleh mencecah sehingga RM4,000 (14,138,500 juta Rupiah) seekor,” katanya.
Menurutnya, kesemua rampasan termasuk sebuah bot dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Binatang 1953 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
— BERNAMA