Tragedi ngeri ‘tumbangnya’ KRI Nanggala 402 di ‘pusara tidak bernisan’ di dasar lautan perairan Bali baru-baru ini masih menghantui kita semua. Apatah lagi jika mereka ‘pergi’ meninggalkan isteri dan anak kecil di rumah.
Terbaharu, Tribun News mengimbas kembali satu sedutan video wawancara pihak media bersama salah seorang kru kapal selam tersebut pada 2017.
Kru tersebut, Serda Setyo Wawan yang ketika itu masih lagi dalam peringkat kadet ditemui pihak media untuk memberi sepatah dua kata mengenai kerjayanya sebagai tentera laut yang bakal ‘berjuang’ di lautan dalam.
Sera menitipkan ucapan buat isteri tercinta, di mana dia mengatakan bahawa apabila bermula sahaja tugasnya di kapal selam dan menyelam, maka anggap sajalah dia tidak akan ditemui lagi.
“‘Di saat kapalmu sudah menyelam, itu bermakna kamu sudah mati’. Ya, itulah yang akan saya bicarakan kepada isteri dan anak saya nanti. Di saat suamimu berangkat tugas melaksanakan operasi kapal selam, kamu anggap suamimu itu sudah mati.
“Berdoa saja kepada Allah SWT supaya suamimu ini selalu diberikan keselamatan, kemudahan dan kelancaran walau di mana pun berada,” kata Serda dalam rancangan KSATRIA bertajuk ‘Kelana Yudha Hiu Kencana‘ yang disiarkan pada 28 Disember 2017 lalu.
Ucapan semangat jadi kenyataan
Sedutan klip video berkenaan kembali tular di ruang maya Indonesia khususnya baru-baru ini. Sungguh, apa yang pernah arwah katakan itu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan
Jika dirinya sudah mula bertugas, jika kapal selam sudah mula menyelam, maka anggap sajalah jasadnya sudah mati & mereka tidak akan bertemu lagi.
Jika difahami kata-kata Serda ini, ianya adalah kata-kata semangat seorang perajurit sepertinya yang sentiasa bersedia ‘menyerahkan’ dirinya di perbatasan demi menjaga kedaulatan negara tercinta.
Dahulu, ia hanya pembakar semangat. Namun kini, ia sudah pun menjadi kenyataan. Serda benar-benar menyelam dan telah pergi meninggalkan kita. Cebis jasadnya yang hancur, kini menjadi tugu di dasar samudera Indonesia.
Klip video tersebut boleh ditonton di bawah. Ucapan keramat Serda boleh dilihat pada durasi ke 3.30.
Sumber: Tribun News