Siakap Keli

Wanita Mengaku Jual Sambal Nyet Palsu, Jumpa Khairul Aming Minta Maaf

Semalam kecoh di media sosial khususnya di twitter berikutan satu pendedahan yang dibuat oleh seorang selebriti media sosial, Khairul Aming yang popular dengan rancangan masakan apabila Sambal Nyet yang dijualnya menjadi mangsa cetak rompak.

Melalui perkongsiannya semalam, beliau merasa kecewa apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menjadi reseller produknya, namun tidak menyangka ada yang sanggup menciplak dan menjual produk palsu Sambal Nyet.

Nyata kecewa dengan tindakan individu berkenaan yang boleh menjejaskan perniagaannya, beliau kemudian turut membuat satu laporan polis.

Terbaru, melalui tweet terbaru di Twitter, beliau memaklumkan pelaku yang bertanggungjawab menjual produk palsu Sambal Nyet tampil bertemu dengannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Dalam pertemuan berkenaan, beliau menjelaskan bahawa perkara berkenaan tidak akan diselesaikan dengan mudah dan menuntut 3 perkara daripada wanita berkenaan.

Selain membuat tuntutan permohonan maaf secara terbuka, wanita berkenaan juga perlu membayar pampasan tunai. Bagaimanapun menurut Khairul Aming, duit pampasan berkenaan tidak akan dipulangkan kepada pembeli-pembeli yang membeli sambal palsu tersebut, sebaliknya akan didermakan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Semoga insiden yang berlaku ini menjadi pengajaran kepada semua individu diluar sana dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Sumber: Twitter Khairul Aming

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.