Siakap Keli
Gambar Via Daily Mail

Anak Dakwa Ibu Hidap COVID-19 Meninggal Dunia Selepas Polis Rampas Tangki Oksigen Untuk Diberikan Pada VIP

Seorang wanita yang kritikal kerana dijangkiti COVID-19 dilaporkan telah meninggal dunia setelah tangki oksigen yang sepatutnya diberikan kepadanya telah dirampas oleh beberapa orang anggota polis.

Kejadian yang berlaku di Agra, India itu dirakam dan telah tular di media sosial.

Menurut Times of India, pihak polis didakwa telah mengambil tangki oksigen tersebut dari anak lelaki kepada wanita itu yang berusia 17 tahun.

Wanita itu juga dipercayai meninggal dunia dua jam selepas ‘insiden rampasan itu.

Dalam video yang tular, remaja itu yang lengkap memakai PPE dilihat melutut dan menangis ketika dia memohon kepada pihak polis agar memberikannya kembali tangki oksigen tersebut atau ibunya akan mati.

Menjelaskan perkara tersebut kepada Times of India, remaja itu berkata bahawa anggota polis tetap mengambil oksigen tersebut walaupun dia sudah merayu. Keluarganya mendakwa bahawa oksigen itu diberikan kepada orang kenamaan.

Ketua Pengarah Polis Tambahan (ADG), Rajiv Krishna, mengarahkan agar siasatan terhadap dakwaan itu dilakukan dengan segera.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap polis yang bersalah,” tegasnya.

Sebelum itu, pihak polis tempatan telah menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan bahawa tangki oksigen itu kosong.

“Lelaki itu meminta agar polis memberikannya tangki oksigen untuk rawatan ahli keluarganya. Tiada sebarang ‘rampasan’ yang dilakukan dan video itu mengelirukan,” kata Superintendan Polis (SP), Botre Rohan.

Sumber: Times of India

Sofea

There's always another side to every story