Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Itulah perumpamaan yang biasa orang kita gunakan untuk menggambarkan keadaan seseorang itu berasa menyesal setelah ‘terbuat’ perkara yang salah.
Tapi ada satu lagi ‘terlajak’ yang kita kena tahu, iaitu terlajak membeli produk ubat-ubatan tanpa ketahui terlebih dahulu tahap keselamatannya. Pendek kata, kalau salah beli ubat, silap hari bulan, ke katil hospital jugalah kita nanti.
Tahukah anda, semua produk ubat-ubatan di negara ini perlu mendaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum dipasarkan. Bukan sahaja produk di pasaran tempatan, malah dari pasaran antarabangsa pun sama.
Ada tiga nilai jaminan yang dijamin KKM bagi mana-mana produk ubatan berdaftar, iaitu daripada segi keselamatan (safety), kualiti (quality) dan keberkesanan (efficacy).
Selain itu, produk berdaftar pasti akan ada dua ciri-ciri utama yang anda mesti akan cam, iaitu nombor pendaftaran MAL, contohnya MAL20125467T serta label keselamatan hologram pada pembungkusannya. Kalau beli sebarang ubat tapi dua perkara ini tiada, sebaiknya letaklah semula ke rak sebelum kita menyesal kemudian.
Macam mana nak faham nombor MAL?
Contoh nombor pendaftaran: MAL20125467T
Mana-mana nombor pendaftaran mesti akan dimulakan dengan ‘MAL’, dituruti lapan digit nombor dan berakhir dengan huruf-huruf tertentu. Sebenarnya huruf terakhir itu adalah merupakan kategori pendaftaran produk tersebut:-
- A = ubat mengandungi racun terkawal, contohnya antibiotik, darah tinggi
- X = ubat yang tidak mempunyai racun terkawal /OTC, contohnya paracetemol, aspirin
- T = ubat tradisional, contohnya jamu, minyak urut, minyak gamat
- N = ubat semula jadi / makanan tambahan kesihatan contohnya minyak ikan kod, multivitamin, glucosamine
- H = ubat veterinar

Selain itu, ada juga kod pentadbitan yang mungkin digunakan pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara yang diletakkan selepas kategori produk. Kod mereka pula ada maksudnya tersendiri seperti di bawah:-
- C = Contract manifactured (produk itu dikilangkan dengan pengilang kontrak yang mempunyai sijil GMP)
- E = For Export Only (FEO) (produk itu hanya dijual untuk pasaran eksport sahaja, tidak di pasaran tempatan)
- R = Packed and/or repacked (produk dibungkus/dibungkus semula oleh pembungkus/pembungkus semula yang disahkan GMP)
- S = Second source (produk itu dari sumber kedua/dibenarkan oleh pengilang kedua)
- Y = Orphan products
- Z = Produk yang digazetkan sebagai berkadar sifar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) 2014
Penting, kena semak status produk
Sebelum beli sesuatu produk ubat-ubatan, sebaiknya semaklah terlebih dahulu status pendaftarannya. Bimbang kalau sudah terbeli ubat yang tidak sah, tidak selamat serta tidak dijamin kualitinya, kita akan merana nanti.
Jadi dengan itu, semakan status pendaftaran produk boleh dibuat melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my atau boleh juga hubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.
Di laman sesawang ini, anda boleh klik ikon ‘Product Search’ dan carian boleh dibuat berdasarkan beberapa maklumat seperti berikut:-
- Nama produk
- Nombor pendaftaran
- Nama pemegang pendaftaran
- Bahan-bahan aktif
- Nama pengilang atau pengimport
Ini penting. Jika produk yang anda cari itu ternyata berdaftar, maka status pendaftaran akan tertera di skrin. Bagaimanapun selepas memeriksa nombor pendaftaran, anda dinasihatkan juga untuk menyemak pula kesahihan label hologram melalui ahli farmasi di hospital, klinik atau premis farmasi berhampiran.
Jangan lupa, anda juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status melalui Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran sesuatu produk itu. Ingat, jangan salah beli ye.
Sumber: Program Perkhidmatan Farmasi KKM