Siakap Keli
Gambar: Natipah Abu

Mungkin Permintaan Terakhir, Adik Hidap Kanser Otak Ini Perlukan Bantuan Helikopter Untuk Dibawa Pulang Beraya Di Kampung

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Hari ini, aktivis kemanusiaan Natipah Abu memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang mencari helikopter yang boleh disewa dalam kadar segera.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, helikopter tersebut ingin disewa bagi laluan dari Langkawi ke Alor Setar, Kedah. Biarpun nampak dekat dalam satu negeri yang sama, namun ada cerita ‘panjang’ di sebaliknya.

Pulang ke kampung, permintaan terakhir

Berdasarkan keterangannya di ruangan komentar, Natipah menjelaskan bahawa ianya adalah untuk memenuhi permintaan seorang kanak-kanak yang menderita sakit kronik bertahun-tahun lamanya. Tidak dapat tidak, nyawa anak kecil ini bagaikan telur di hujung tanduk.

Tiada apa lagi yang ‘bernilai’ di dunia ini apabila pihak perubatan mengesahkan bahawa penyakit adik ini tidak mampu diselamatkan lagi. Sungguh tenat dan memenatkan.

Di saat-saat akhir ini, apa yang terbuku dalam hatinya adalah mahu pulang ke kampung dalam kadar segera. Namun ianya tidaklah semudah yang disangka. Penyakitnya membatasi segala-galanya.

“Anak ini sudah berjuang melawan kanser otak selama tujuh tahun dan perjuangannya sudah sampai ke noktah bila doktor sahkan tiada lagi kaedah dan rawatan moden untuk menyembuhkan sakitnya.

“Sekarang dia sedang kritikal dan sangat berharap untuk balik ‘beraya ke kampung’…mungkin inilah permintaan terakhirnya. Kak Pah ada nak sewa bot laju tapi dia tak boleh terhentak (kepalanya). Pesawat komersial pun tak sesuai. Ada contact beberapa syarikat helikopter sebelum ini, (tapi) depa tak buat dah..” katanya dalam komentar tersebut.

Gambar: Natipah Abu

Ekoran itu, ramai netizen saling berkongsi idea bagaimana untuk memastikan ‘ikhtiar terakhir’ ini dapat dilaksanakan dengan semampunya. Rata-rata mereka memberi cadangan supaya menghubungi pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Tidak kurang juga, ada yang turut berkongsi nombor-nombor seseorang yang dipercayai boleh membantu kes ini kepadanya. Malah ada juga yang berbesar hati menawarkan khidmat bantuannya sendiri.

Hebahan ini dimuat naik ke laman Facebooknya kira-kira dua jam yang lalu. Namun belum ada sebarang kemas kini terkini yang dibuatnya. Mungkin Natipah sedang menunggu maklum balas daripada mana-mana pihak yang dihubunginya.

Buat sementara ini, sama-samalah kita berdoa agar ikhtiar ini menemui jalan keluarnya. Adik ini tidak minta banyak dan bukan helikopter yang dia mahukan sebenarnya. Namun keadaan kepalanya yang sakit itu tidak mengizinkan untuk dia menggunakan kenderaan biasa, bimbang berlaku komplikasi lain.

Mungkin laluan udara melalui helikopterlah satu-satunya cara paling selamat yang dia ada. Semoga ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kecemasan buat usaha Natipah ini, Sama-sama kita nantikan.

Sumber: Natipah Abu

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'