Negara kita masih belum benar-benar menjanjikan jawapan bilakah sebenarnya segala derita wabak COVID-19 ini akan berakhir. Sudah hampir dua tahun kita masih bernafas di sebalik pelitup muka, masih tidak bersalaman, agak lama kita tidak rapatkan saf dalam solat.
Naik, turun, naik, turun dan naik kembali. Memang sukar dijangka tapi itulah yang berlaku. Kementerian Kesihatan (KKM) selaku watak utama masih belum mengangkat bendera putih, nampaknya perjuangan ini dipercayai masih panjang.
Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkongsi fakta terkini mengenai situasi semasa di fasiliti kesihatan. Di samping itu, beliau turut memuat naik beberapa keping dan video memaparkan situasi sebenar yang mereka hadapi setiap hari di sana.
Ini bukan lagi rekaan, bukan lakonan, jauh lagi sekadar ‘berkonspirasi’. Mari ikuti perkongsian Dr. Noor Hisham di bawah ini & hayati juga gambar-gambar tersebut. Semoga Malaysia tidak mengikut jejak India.

Situasi sebenar di wad kecemasan pesakit COVID-19
63 pesakit ICU, dengan lebih daripada 25 pesakit kritikal untuk dipantau di wad biasa dan Jabatan Kecemasan, dan lebih daripada 20 kes dirujuk ke ICU setiap hari dalam tempoh satu minggu ini di Hospital Sungai Buloh.

Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil rawatan kritikal / ICU COVID-19 terkini di Lembah Klang secara purata keseluruhan telah mencapai 90 peratus pada pagi 2 Mei 2021.
Sebanyak enam (6) buah hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal / ICU dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 didapati telah melebihi ambang amaran (alert threshold) kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100%.
Manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal / ICU COVID-19 pada kadar melebihi 50 peratus.

Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal / ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.
KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan COVID-19.
Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit COVID-19.

KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.
Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.
Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun 2020 dan masih diteruskan sehingga kini.

Sekiranya trend peningkatan kes COVID-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.



Justeru, masyarakat diseru untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.
Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini.
Di bawah ini adalah rakaman video seketika di wad kecemasan yang menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 yang kritikal di ICU Hospital Sungai Buloh:
Sharing our Critically ill Covid-19 patients in Sungai Buloh Hospital ICU. We are almost running out of beds. Please stay healthy and stay safe. pic.twitter.com/XbCFaf0JIy
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) May 2, 2021
Sharing our Critically ill Covid-19 patients in Sungai Buloh Hospital ICU. We are almost running out of beds. Please stay healthy and stay safe.
Posted by Noor Hisham Abdullah on Saturday, May 1, 2021
Sumber: FB Dr Noor Hisham Abdullah