Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Bayi 11 Bulan Maut Jatuh Dari Tingkap Bilik Tingkat 3

Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan menemui ajal setelah terjatuh dari tingkap bilik di tingkat tiga di Jalan Aman Putra, Kuala Lumpur, petang semalam.

Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan insiden sekitar pukul 6 petang dan pasukan polis dari Balai Polis Jinjang telah menjalankan siasatan di tempat kejadian.

”Siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas bersebelahan dengan tingkap yang berada dalam bilik pertama rumah.

”Pengadu memaklumkan katil telah dirapatkan ke bahagian tingkap untuk mengemas bilik tersebut dan siasatan polis juga mendapati tingkap di dalam bilik tersebut tidak mempunyai pagar dan katil telah diletakkan di tengah tingkap tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti memetik laporan Kosmo.

Beh Eng Lai berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden berkenaan.

”Ibu mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan dan apabila tiba di Unit Kecemasan hospital itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan,” ujarnya memetik Kosmo.

Katanya, hasil laporan bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sumber: Kosmo

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.