Siakap Keli

Dua Lelaki Ditahan Guna Bas Ekspres Seludup Daun Ketum

SERDANG, 5 Mei – Taktik licik dua lelaki menggunakan bas ekspres untuk menyeludup daun ketum terbongkar apabila premis memproses air daun ketum dipercayai milik mereka diserbu di Lestari Perdana, Seri Kembangan, pada Isnin.

Kedua-dua lelaki berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan semasa sedang memproses air ketum di premis mereka di tingkat dua pada 10 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Supt Mohd Rosdi Daud berkata kedua-dua mereka disyaki mendapatkan bekalan daun ketum dari utara Semenanjung dan dihantar menggunakan bas ekspres untuk diproses di premis Seri Kembangan.

“Polis merampas 190 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum yang siap dimasak dianggar bernilai RM3,800 dengan kuantiti 285 liter dan dua periuk besar mengandungi daun ketum yang direndam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Mohd Rosdi berkata polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya dua periuk besi besar, dua tong gas dan dua tungku besi dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang direman hingga Jumaat itu mempunyai rekod jenayah iaitu seorang berkaitan Akta Racun 1952 manakala seorang lagi melibatkan kes dadah.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang