Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Polis Kesan Pesakit COVID-19 Lari Dari Hospital Lama Sungai Petani

SUNGAI PETANI, 5 Mei (Bernama) — Polis sedang mengesan seorang pesakit COVID-19 yang dipercayai melarikan diri dari Hospital Lama Sungai Petani, dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata usaha mengesan lelaki berumur 39 tahun terbabit dimulakan sejurus pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki itu dari wad.

“Pasukan petugas khas turut digerakkan untuk mencari pesakit terbabit di rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, di sini, namun mendapati dia tiada di rumah,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Adzli berkata pihaknya sudah menggerakkan hampir semua elemen termasuk Cawangan Khas, anggota balai polis, pasukan petugas khas serta pegawai dan anggota bertugas di lokasi sekatan jalan raya untuk mengesan lelaki itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, bagi pembedahan kecil pada tangannya yang bernanah, Khamis lepas.

“Ujian calitan COVID-19 dijalankan terhadap lelaki itu dan dia didapati positif, Jumaat lepas, dan kemudiannya dikuarantinkan di wad B1 Hospital Lama Sungai Petani. Difahamkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga masih menyiasat kontak rapat lelaki terbabit,” katanya.

Menurut Adzli, lelaki itu sudah berada di wad berkenaan selama enam hari dan kehilangannya disedari seorang jururawat yang bertugas kira-kira pukul 8.45 pagi semalam, selepas mendapati dia tiada di katil.

“Ada pesakit lain mendakwa melihat lelaki terbabit keluar dari wad tersebut kira-kira 6.30 pagi semalam dengan membawa bersama beg dan barangan peribadinya,” katanya.

Adzli berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 11(3)(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu dimohon menghubungi balai polis berhampiran atau KKM.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story