Siakap Keli
Gambar: Kompas.com

Bakal Bantu Angkat KRI Nanggala 402 Dari Kedalaman Lebih 800 Meter, China Dilapor Kerahkan 3 Kapal Untuk ‘Beraksi’

Kementerian Pertahanan China mengumumkan bahawa pihaknya telah menghantar kapal Tentera Laut ke Selat Lombok bagi membantu mengangkat bangkai kapal KRI Nanggala-402, lapor Kompas.

Lokasi kapal selam itu telah ditemukan pada 25 April yang lalu setelah ianya dilaporkan hilang selama beberapa hari ketika melakukan latihan tembakan torpedo di perairan laut di utara Bali.

KRI Nanggala-402 telah disahkan karam dan terbelah menjadi tiga bahagian di kedalaman lebih dari 800 meter.

Kementerian Pertahanan China mengesahkan akan bekerjasama dengan badan penyelamatan antarabangsa selepas menyampaikan ucapan takziah kepada yang terkorban.

“Kami ingin menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada korban kapal selam Indonesia yang karam, KRI Nanggala-402, dan menyampaikan rasa simpati yang tulus kepada keluarga yang berduka,” kata Kolonel Ren Guoqiang, jurucakap Kementerian Pertahanan China.

Kolonel Ren menambah bahawa atas permintaan kerajaan Indonesia, Tentera China telah mengerahkan kapal-kapal Angkatan Laut ke “perairan Selat Lombok” bagi membantu mengangkat kapal selam buatan Jerman yang berusia 44 tahun itu.

Pada hujung tahun lalu, tentera Indonesia  menunjukkan sebuah dron bawah laut yang dikatakan milik China yang dijumpai oleh nelayan dari Pulau Selayar yang terletak di sekitar perairan tersebut.

Ada pihak yang mengesyaki bahawa peranti bersaiz peluru berpandu itu memetakan laluan maritim yang penting ke Australia.

Seorang ahli kapal selam China yang tidak disebutkan namanya, menyatakan bahawa misi penyelamatan tersebut akan menguntungkan Tentera China.

“Ini dapat membantu China mempelajari geografi ketenteraan maritimnya di daerah di mana kapal selam itu karam, serta memperluaskan kerjasama antarabangsa dan pengaruh Tentera Laut dalam penyelamatan kapal selam,” kata pakar itu.

Tentera Laut Indonesia menyatakan bahawa tiga kapal China, termasuk kapal penyelamat Yongxingdao 863, diharapkan dapat bergabung dalam operasi penyelamatan.

Bantuan tiga kapal Angkatan Laut China ini dikerahkan setelah kapal-kapal dari Australia, Singapura dan Malaysia meninggalkan lokasi selepas KRI Nanggala-402 ditemui.

Jabatan Pertahanan Australia mengesahkan bahawa pihaknya tidak lagi menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengangkat bangkai kapal tersebut.

“(Kapal perang) HMAS Ballarat telah dikeluarkan dari tugas pencarian pada 26 April setelah mengesahkan bahawa pihak Indonesia telah menemukan lokasi KRI Nanggala,” kata jurucakap Jabatan Pertahanan Australia kepada ABC.

“Setakat ini Australia tidak diminta untuk menghulurkan bantuan dengan lebih lanjut dalam proses mengangkat KRI Nanggala,” tambahnya.

Sumber: Kompas.com

Aqmal Ezany

I write what is right