Baru-baru ini bandar peranginan New South Wales di Nowra telah ‘dicerobohi’ ribuan burung Corella, separuh genetik burung kakak tua putih. Situasi tersebut kelihatan seperti set perfileman oleh Alfred Hitchcock, menurut portal Odditycentral.

Gambar dan video sekumpulan burung putih yang berkumpul di sekitar jalan Nowra itu telah ditunjukkan di atas talian sudah seminggu lamanya.
Menurut portal, burung Corella dapat dilihat bertenggek di tiang lampu serta berkumpul di halaman rumput dan atap. Malah mereka suka menyelongkar tong sampah untuk mencari makan dan membuat keributan yang dahsyat. Ini pasti bukan perkara yang kita lihat setiap hari dan pihak media seluruh dunia juga menghuraikan rakaman ini sebagai peristiwa yang aneh.
Tetapi tidak bagi penduduk Nowra ini. Bagi mereka, peristiwa yang dirakam baru-baru ini di jalan Jindalee Crescent telah menjadi perkara biasa. Selama bertahun-tahun, penduduk di sini telah berkongsi bandar mereka dengan burung Corella. Walaupun kebanyakan mereka membenci burung tersebut, namun tidak banyak yang dapat mereka lakukan.
Seorang wanita dari Nowra berkata pada portal Sidney Morning Herald, “Burung ini sepatutnya dikira sebagai haiwan perosak, mereka membuat banyak kemusnahan pada pokok“. Begitu juga dengan, “Saya sentiasa menyapu bulu-bulu mereka“. Pekikan yang kuat dan kotoran yang ditinggalkan di merata tempat tidak menyenangkan hati manusia, tetapi burung ini kelihatannya tidak kisah. Meskipun mereka merupakan spesies yang dilindungi, penduduk tempatan yang kesal tiada pilihan yang banyak untuk berurusan dengan burung ini.

Ketika memandu dan berjalan di sekitar bandar Nowra, ia adalah normal apabila melihat sekawan burung bertenggek di tiang elektrik, kereta yang diparkir dan papan tanda. Burung ini tanpa segan ‘melepak’ di halaman rumput manusia, menyelongkar tong sampah malah turut meluncur di atas bumbung rumah manusia. Malah sesekali mereka akan melakukan ‘pencerobohan’ besar-besaran seperti yang terakam di kamera baru-baru ini.
Portal ini menjelaskan, burung Corella ini sudah lama mengambil alih bandar ini. Kenyataannya, pakar telah memberi peringatan mengenai hal ini selama bertahun-tahun. Burung-burung ini adalah cerdik, dan ada yang mendakwa burung ini memiliki kecerdasan yang rata-rata usia 2 tahun.
Jadi, mereka cepat mengetahui dengan berhijrah ke tempat buatan manusia yang lebih selesa dari padang gurun New South Wales yang kering itu adalah suatu keputusan yang bijak. Burung Corella tidak pernah dilihat di kawasan bandar sebelum tahun 1950-an, tetapi kini mereka ada di mana-mana.
Dalam laporan 2018, ahli akademik di University of South Australia ada menulis, “Kami telah membuat habitat yang sempurna kepada Corella kecil dan mereka menerimanya“. Rumput bandar Nowra yang terbuka luas dan dihiasi oleh pohonan yang tinggi dan sumber air yang mudah diakses menjadikan habitat ini sempurna untuk kakak tua putih. Tetapi menurut mereka, perancangan bandar itu sebenarnya yang menjadi masalah terbesar.
Menurut portal 9News, sekumpulan burung ini berkumpul di sekitar jalan Nowra setiap hari dan masalah penduduk tempatan dengan burung ini hanya bertambah lebih buruk. Hanya sedikit yang dapat mereka lakukan untuk atasinya.
Kelihatannya, Corella turut mengganggu pusat bandar yang lebih besar seperti Melbourne dan Adelaide. Namun menurut sumber, ini adalah lebih baik daripada dicerobohi sekumpulan kelawar besar.
Sumber: Odditycentral