Siakap Keli
Gambar: nytimes.com, bbc.com

Petani Dilapor Tak Sengaja Ubah Sempadan Negara, Sebabkan Negara Jiran Jadi Lebih Kecil

Seorang petani di Belgium secara tidak sengajanya telah mengalihkan penanda sempadan antara negaranya dan Perancis, lapor Independent.

Perkara tersebut telah menyebabkan wilayah Belgium menjadi lebih besar sebanyak beberapa meter.

Lelaki itu dilaporkan telah mengalihkan batu itu, yang telah menandai sempadan kedua-dua negara itu selama lebih dari 200 tahun.

Menurut portal Independent, petani tersebut telah menggerakkan penanda berkenaan sejauh 2.29 meter ke Perancis kerana penanda itu menghalang laluan traktornya.

Perubahan penanda sempadan itu telah disedari oleh peminat sejarah tempatan sewaktu dia sedang berjalan-jalan di dalam hutan.

Petani itu “juga turut memasang kembali pagarnya di atas pohon milik hutan Bousignies”, meurut Aurelie Welonek, Datuk Bandar sebuah bandar di Perancis bernama Bousignies-sur-Roc.

Batu tersebut pertama kali diletakkan di sana pada tahun 1819, sebelum perbatasan sepanjang 620 km (390 batu) secara rasminya dibentuk di bawah Perjanjian Kortrijk 1820.

David Lavaux, Datuk Bandar perkampungan Belgium bernama Erquelinnes menyatakan bahawa petani itu harus mengalihkan semula batu itu di tempat asalnya atau mungkin bakal berdepan dengan tuduhan jenayah.

“Kami tiada niat untuk meluaskan bandar kami, atau pun negara. Dia telah menjadikan Belgium semakin besar dan Perancis semakin kecil. Ia bukanlah idea yang bagus,” katanya kepada saluran TV Perancis TF1.

Tambahnya: “Saya gembira, bandar saya lebih besar. Tetapi datuk bandar Bousignies-sur-Roc tidak bersetuju.

“Sekiranya (petani) itu memberikan kerjasama yang baik, dia tidak akan menghadapi sebarang masalah, kami akan dapat menyelesaikan masalah ini secara baik,” kata Lavaux sambil tersenyum.

Welonek bersetuju, menyatakan kepada surat khabar La Voix du Nord: “Kita seharusnya dapat mengelakkan perang perbatasan baru.”

Sekiranya penanda sempadan itu tidak dikembalikan ke tempat asal, sebuah suruhanjaya Franco-Belgium akan dibentuk untuk menentukan kedudukan sempadan yang tepat.

Kali terakhir suruhanjaya seperti ini ditubuhkan adalah pada lebih dari 90 tahun yang lalu, menurut Lavaux.

Sumber: Independent

Aqmal Ezany

I write what is right