Ratu terjun negara, Pandelela Rinong melakar sejarah baru buat negara apabila berjaya meraih pingat emas acara 10 meter (m) platform individu wanita di Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2021 di Tokyo, Jepun semalam.
Pandelela berjaya mengatasi perenang tuan rumah, Matsuri Arai yang mendapat pingat perak dan perenang dari Kanada, Caeli Mckay yang mendapat pingat gangsa.
Menurut FINA, Pandelela berjaya mendapatkan sebanyak 355.70 mata setelah melengkapkan semua terjunan.
“Hari ini menunjukkan bahawa dia berada dalam prestasi yang baik setelah tahun yang sukar sebelum ini,” kata FINA.
Pandelela pula meluahkan kegembiraannya kerana dia lebih konsisten ketika beraksi di kejohanan ini dan berharap agar mampu berada di podium di sukan Olimpik.
“Saya berasa sangat gembira kerana saya lebih konsisten di final. Pada peringkat awal, saya melakukan tiga kesalahan berkaitan selaman dan di separuh akhir, saya melakukan dua kesilapan. Bila di final ini, saya gembira keran boleh melakukannya dengan baik,” katanya kepada FINA.
Selepas kejayaan itu, media sosial dibanjiri dengan ucapan tahniah buatnya. Tidak terkecuali ucapan dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Facebook rasmi miliknya hari ini.
Tahniah Pandelela Rinong. Keringat dan komitmen anda pastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di persada dunia. Syabas! Anda kebanggaan Malaysia.
Posted by Muhyiddin Yassin on Wednesday, May 5, 2021
Tahniah buat Pandelela dan seluruh skuad terjun negara, semoga terus menyinar di mata dunia.
Sumber: FINA