Siakap Keli

Umat Islam Dijangka Sambut Ramadan 2 Kali Dalam Setahun Pada 2030, Ini Penjelasan Ahli Astronomi

Tahukah anda, umat Islam di dunia ini dijangka akan menyambut bulan Ramadan sebanyak dua kali dalam setahun pada 2030 nanti? Dengar macam pelik tapi sebenarnya ia adalah fenomena biasa yang berlaku setiap 33 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astronomi Dubai, Hassan Ahmed al-Hariri, fenomena ini terjadi disebabkan perjalanan taqwim bulan (lunar calendar) beredar lebih pendek 11 hari setiap tahun.

Jelasnya, perjalanan taqwim matahari dan taqwim bulan (lunar) adalah berbeza dan tidak sama antara satu sama lain. Taqwim matahari tetap pada pusingan bumi selama 365 hari setahun (dalam Masihi), manakala taqwim bulan pula lebih pendek 11 hari dan hanya 354 hari setahun (dalam Hijriah).

Kedua-dua taqwim ini akan habis melengkapkan ‘pusingannya’ mengikut tempoh masa masing-masing. Selesai 365 hari, akan kembali ke hari pertama. Selesai 354 hari, akan kembali juga ke hari pertama.

Jika kita lihat pada kalendar 2030, 1 Ramadan yang pertama dijangka jatuh pada 5 Januari bagi tahun 1451 Hijriah. Selepas 354 hari atau genap setahun selepasnya, 1 Ramadan yang kedua pula dijangka jatuh pada 26 Disember berikutnya bagi tahun 1452 Hijriah.

Proses pusingan taqwim Hijriah untuk ‘berpusing’ penuh melengkapi tahun Masihi memakan masa selama 33 tahun. Untuk rekod terdahulu, umat Islam pernah menjalani ibadah puasa Ramadan sebanyak dua kali dalam setahun pada 1997 lalu, akan datang pada 2030 dan berikutnya pada 2063 kelak.

Maka beruntunglah siapa-siapa yang berpuasa dan berhari raya pada tahun 2030 dan 2063 nanti kerana berpeluang menikmati bulan pesta ibadah dan kemeriahan Aidilfitri berkali ganda.

Tidak kurang juga, bayangkan kalaulah pada 2030 nanti kita ‘direzekikan’ mendapat malam Lailatul Qadr sebanyak dua kali untuk kedua-dua Ramadan tersebut, betapa banyaknya ganjaran yang bakal diterima.

Malam ini akan masuk malam ke-25 Ramadan. Berbaki hanya lima hari sahaja lagi sebelum Ramadan berakhir dan meninggalkan kita. Marilah bersama-sama kita pertingkatkan amalan dalam mengejar malam Lailatul Qadr. Bukan apa, manalah tahu andai ini Ramadan terakhir kita?

Sumber: Esquireme / Gulf / Tribun

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.