Seorang wanita di wilayah Henan, China dilaporkan telah membelanjakan lebih daripada sejuta yuan (RM 634403.00) untuk membina dua jambatan besi di hadapan sekolah anaknya, bagi memastikan anaknya serta pelajar sekolah yang lain dapat melintas dengan selamat, lapor Oddity Central.
Wanita yang dikenali sebagai Meng itu pada baru-baru ini memberitahu kepada Stesen Televisyen Henan bahawa jalan di luar sekolah anaknya selalu sesak ketika ibu bapa menghantar atau menjemput anak mereka, dan dengan ketiadaan lampu isyarat yang dipasang di kawasan berhampiran, melintas jalan adalah suatu perkara yang berbahaya bagi pelajar dan guru.
Sebab lain mengapa dia mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi membina jambatan tersebut adalah kerana sekolah itu terletak di tingkat bawah dan lopak air yang terdapat di jalan tersebut telah menyebabkan kaki anaknya selalu basah ketika pulang daripada sekolah.
“Akan ada air yang dalam dan ianya menyebabkan kesukaran untuk melintasi jalan tersebut,” ujar wanita berkenaan. “Air akan melimpah sehingga ke tangga di mana tempat kanak-kanak ini menunggu ibu bapa mereka. Mereka kelihatan tersiksa. Kaki anak saya bertukar menjadi putih kerana ianya direndami air.”
Kedua-dua jambatan tersebut, yang salah satunya telah hampir selesai dibina, manakala satu lagi berada pada tahap menanam landasannya, telah dipersetujui oleh biro perumahan dan pembangunan bandar-luar bandar, tetapi pembinaannya telah mendapat suntikan dana secara eksklusif oleh dermawan misteri.
Meng menyatakan bahawa dia tidak pernah memberitahu anaknya bahawa dia telah membayar kos untuk membina jambatan baru tersebut, kerana dia tidak mahu anaknya bermegah mengenainya dengan kanak-kanak lain.
Dia hanya berharap agar sumbangannya dapat membantu menjaga keselamatan kanak-kanak dan tenaga pengajar serta membolehkan kanak-kanak mendapat pendidikan.
“Saya hanya melakukan apa yang saya mampu lakukan. Anda tidak boleh bawa duit selepas anda mati dan saya tak perlu tinggalkan duit terlalu banyak untuk anak saya,” ujar wanita berkenaan. “Saya akan menamakan jambatan itu sebagai Jambatan Kebijaksanaan. Pelajar yang melintasi jambatan itu boleh menjadi bijak dan terus bijak.”
Kisah ini telah mendapat perhatian yang meluas di China, dengan kebanyakan pengguna media sosial memuji wanita itu kerana sumbangannya. Dia boleh buat macam-macam untuk memanfaatkan dirinya dan keluarganya menggunakan duit tersebut, seperti membeli beberapa pangsapuri, atau sebuah rumah, tetapi dia memutuskan untuk melakukan sesuatu untuk kemaslahatan seluruh masyarakat.
Sumber: Oddity Central