Siakap Keli
Gambar Hiasan via Vokal

Bayi Baru Lahir Diberi Nama Ghlynnyl Hylhyr Yzzyghyl, Tapi Nama Gelaran Adalah ‘Consonant’

Setiap bayi yang baru lahir pasti akan diberi nama yang indah-indah oleh ahli keluarganya. Nama yang ringkas pasti akan memudahkan kita memanggilnya, tetapi bagaimana dengan nama yang panjang, unik dan sukar disebut?

Di Filipina, seorang bayi baru lahir telah diberi nama yang cukup unik dan jarang-jarang kita mendengarnya.

Anda tanya apa namanya? Sudah pasti bukan nama “vokal” bagi seorang bayi baru lahir dari Carmen, Cotabato yang diberikan nama luar biasa, sukar untuk disebut dan dieja, lapor GMA News Online.

Menurut portal, ketika ditemu bual dalam laporan Mark Salazar mengenai “24 Oras”, seorang datuk bernama Raugyl Ferolin Estrera telah memutuskan untuk menamakan kelahiran baru cucu lelakinya sebagai Ghlynnyl Hylhyr Yzzyghyl Mampuan Buscato.

Kongsi Estrera, sedangkan pegawai yang memproses sijil kelahiran bayi itu pun terpaksa mencetak semula dokumen tersebut kerana ejaan nama cucunya yang salah.

Turut dilaporkan, bagi memudahkan semua orang, Estrera berjanji untuk memanggil cucunya sebagai “Consonant” sebagai nama panggilan yang lebih mudah tetapi masih luar biasa. Hal ini berikutan nama penuh cucunya yang kebanyakannya ialah huruf konsonan.

Estrera menjelaskan bahawa nama cucunya ini terhasil daripada gabungan beberapa huruf daripada namanya sendiri, nama ibu bapa bayi serta nama nenek kepada bayi tersebut. Malah, beberapa huruf daripada nama yang unik itu  juga turut diambil daripada nama anak saudara Estrera.

Ditanya mengenai inspirasinya dalam memberikan nama unik tersebut, Estrera menerangkan bahawa dia mementingkan nilai kekeluargaan, jadi disebabkan itulah nama cucunya itu tidak patut direka-reka, tetapi dihasilkan daripada gabungan nama ahli keluarganya.

GMA News melaporkan, Estrera berniat untuk mengajar cucunya mengeja namanya sendiri dan menceritakan asal usul nama unik itu setelah Consonant mula belajar membaca dan menulis.

Jelas Estrera, “Pada awal usianya, kami akan mengajar dia bagaimana untuk menulis namanya. Kami akan terangkan asal usul namanya supaya dia mendapat ilham. Dia akan tahu kepentingan namanya nanti”.

Sumber: GMA News Online

Nurul Nabila