Kadang-kadang, ujian yang perlu dilalui di dalam hidup ini sangat berat sehingga dirasakan ia sukar untuk dilalui. Tetapi, percayalah bahawa kita akan diuji mengikut kemampuan diri. Yakinlah bahawa akan sentiasa ada sinar baharu untuk segala kepayahan yang dilalui.
Mungkin kisah wanita ini boleh memberikan inspirasi pada anda semua. Manakan tidak, wanita yang dikenali sebagai Stephanie Pilipovich ini pernah ditinggalkan oleh kekasihnya kerana keadaannya pada ketika itu terlalu kurus.
Apa yang menyedihkan, Stephanie sebenarnya kurus kerana sedang ‘bertarung’ dengan kanser pundi kencing.
Menurut Daily Star, wanita itu berkhidmat sebagai tentera Amerika Syarikat pada tahun 2017 tetapi kerjayanya itu hanyalah bertahan dalam tempoh waktu yang singkat sahaja kerana dia didiagnosis mempunyai tumor di bahagian pundi kencing pada tahun 2018.
“Selepas diagnosis, saya merasa putus asa dan bersendirian,” katanya.
Dia tidak menjalani kemoterapi atau radioterapi, tetapi berjuang untuk menghadapi perubahan di dalam hidupnya. Ketika itu, berat badannya turun dengan mendadak dan menyebabkan teman lelakinya kurang senang dengan perkara tersebut.

“Dia memberitahu bahawa saya terlalu kurus dan perlu menambah berat badan. Saya dapat tahu bahawa dia sudah berulang kali curang dalam hubungan kami,” katanya.
Waktu berlalu, Stephanie tampil lebih baik dan yakin setelah melalui proses pemulihan dan selalu pergi ke gym untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mentalnya.
Pun begitu, dia sekali lagi diuji apabila didiagnosisi menderita hipertiroidisme pada tahun 2020. Ia adalah keadaan sistem imun yang terlalu aktif yang menyukarkan kenaikan berat badan. Keadaannya itu juga menyebabkannya bersara dari tentera.
Setelah itu, dia memulakan hidup baru dengan menjadi model. Ia sekaligus membuktikan bahawa dia boleh bangkit semula walaupun menghadapi episod-episod yang getir dalam hidup.
“Saya telah bangkit dari segala kepahitan yang dialami dan menjalani hidup dengan lebih baik,” katanya.
Sumber: Daily Star