Biarpun angka kes dan kematian meningkat naik dari hari ke hari, masih ada segelintir individu yang menafikan kewujudan dan bahaya koronavirus ini. Malah, penerangan dan luahan para petugas barisan hadapan khususnya staf kesihatan mengenai bahaya COVID-19 hanya di’bakulsampah’kan oleh golongan demikian.
Hakikatnya, hanya mereka yang berkepakaran di medan atau pernah merasai seksanya penyakit ini sahaja yang betul-betul layak bercakap tentang risiko dan akibat jika terkena virus ini.
“Hanya fikir hidup dan mati”, itulah luahan bekas pesakit kritikal tahap 5 COVID-19, saudari Meera Ruslan tatkala dirinya diusung ke wad ICU untuk di’tidur’kan. Mari baca kisahnya yang diberi peluang kedua selepas 9 hari ditidurkan di wad ICU.
#stage5covidfighter
Bukan untuk menakutkan, tapi nak bagi lagi kesedaran untuk semua, covid is real guys. Jemput baca pengalaman 33 hari warded di Hospital Sungai Buloh.
6 Jan- pergi swab lepas tahu ada kontak rapat.
7 Jan – disahkan positif
8 Jan – dijemput dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Dan bermulalah episod duka. Bertukar-tukar wad. Sebab keadaan memang tak stabil. Oksigen makin hari makin turun, normalnya oksigen seseorang kena 95 dan ke atas. Tapi masa tu Mira hanya 91, dan paling teruk pernah jadi 86 sahaja.
Doktor cakap kita akan buat CT scan. Dan pastinya, keputusannya tidak menggembirakan.
“Amira, ada darah beku dalam paru-paru awak.”
Tapi masa ni tenang je. Tak rasa takut. Sebab ingat ok lah darah beku, lepas cucuk ubat mesti ok. Tidak smpai di situ sahaja, lepas X-ray, keputusannya jugak tidak menggembirakan.
“Amira, kita tengok X-ray awak, kuman dah serang awak punya paru-paru”.
Dan semakin hari bantuan pernafasan tak boleh lekang. Cabut je sesak. Pergi tandas je sesak nafas. Sesak nafas yang memang teruk.

19 Jan – Wad 4C.
“Amira, kita decide untuk bawa awak ke ICU.”
Masa ni takut dah. Tapi tetap cover lagi. Sebab taknak mak risau.
Dan masa terlalu pantas. Pukul 11.45 pm ditolak masuk ICU. Disambut dengan doktor-doktor dan jururawat dengan full PPE, penuh katil dikelilingi.
Dijanjikan dengan “Kat sini nanti ambik darah tak sakit.”
Haha. Memang betul tak rasa sakit langsung.
Doktor explain apa yang akan dibuat, tapi kepala dah tak boleh proses. Dalam kepala hanya fikir MAK MAK MAK dan HIDUP / MATI LEPAS AKU BANGUN NANTI.
Doktor tanya, dah call mak? Aku jawab je dah. Walaupun sebenarnya hanya mesej je mak bagitahu. Taknak nangis kalau call. Tapi doktor tetap telefonkan mak untuk explain apa mereka akan buat dekat anak mak.
Lepas doktor explain kat mak, doktor pass telefon dekat aku, “Nah, cakap dengan mak awak sebelum kita tidurkan awak, in case apa-apa jadi lepas ni.”
Sambil tahan sebak, “Mak, adik mintak maaf dari hujung rambut smpai hujung kaki, halalkan air susu mak pada adik”.
Terdengar mak juga sedang sebak. “Adik kuat, mak doakan adik.”
DONE.
Aku ditolak ke 1 bilik. Yang aku ingat detik sebelum ditidurkan,
“Ingat Allah mira, mengucap.. Mintak maaf ye, saya nak cek jantung awak.”
Sempat mengucap dan sebut “ALLAHHHH….” dannnn terusssssss luppppppp……. Bangun-bangun dah 28 Jan..

19 Jan – 28 Jan 2021 (9 hari) ditidurkan.
Icu West Wing Hosp Sg Buloh.
Part paling perit nak tulis. Sebab kena refresh balik keadaan diri sendiri masa ditidurkan. Sedih dan takut. Tak sangka diri sendiri seteruk dan sekritikal itu sebenarnya.
Sejujurnya, janji manis doktor sebelum masuk ICU tu memang betul. Memang tak rasa sakit apa.
Sepanjang ditidurkan tu memang tak rasa apa, cuma kadang dengar orang bercakap, nurse mintak maaf sebab nak buat sesuatu kat kita, dengar orang azan, tapi mulut, mata, tangan langsung takleh bergerak, dan semua tu sekejap-sekejap je, dalam seminit, yang selebihnya memang tidur dan mimpiii di 1 tempat yg lain. Berjalan jauh tanpa tujuan. Penat. Sangat penat.
9 hari bertarung nyawa dan akhirnya sedar, doktor dan nurse approach dengan suara yang happy “Mira…. Dah bangun ya…. Mira tahu tak Mira kat mana sekarang? Mira kat ICU… Dan hari ni 28hb.”
Otak terus sakit, 28hb bulan berapaaaaa, dah berapa lama aku tidur ni. Masa mula-mula sedar, lost… Tak boleh fikir langsung. Mental sakit. Setiap masa tanya berapa hb (tulis kat kertas, sebab tak boleh cakap ada tiub kat mulut).
Lagi sakit mental bila tengok dekat kaki, tangan, leher semua ada jarum. Ada tiub dekat dada kanan. Lagi buat berfikir kenapa aku ni, apa yang teruk sangat ni.
Takda siapa jelaskan apa yang berlaku. Yang ada hanya layanan bak puteri dari nurse dan doktor. Kalau nampak kita sedih, dipujuk.. Ditanya.. Diusap tangan dan kepala setiap hari.
Pantang tengok kita resah, mesti nurse datang bertanya. Nurse cuba buat kita tenang, tapi aku hanya mampu merenung tanpa perasaan. Pernah beberapa kali nak bangun dan nak lari. Sebab masih mamai-mamai, dunia mimpi dan dunia realiti bercampur-campur. Memang benar, tak sakit fizikal. Tapi sakit mental. Sakit sangat.
Lepas 10 hari di ICU, alhamdulillah aku selamat. Syukur, Allah bagi peluang kedua. Semestinya untuk bertaubat lah kan.
Dari ICU dipindahkan ke Wad 4C, masa ni baru boleh tengok telefon, baru boleh pegang telefon.
Dan lepas baca updates pasal diri di WhatsAPP, IG dan FB, penuh mesej dari kawan-kawan, mental terus koyak. Baru sedar yang diri kritikal masa kat icu. Masa kat ICU takde siapa bagitahu, jadi tenang aja.
Bila tahu, memang nangisss je. Sejam dua je tidur. Selebihnya nangis. Sedih dan takut sangat-sangat. Episod trauma bermula. Tak bole tidur. Takut mati.
Lepas keadaan agak stabil, dipindahkan ke wad 5C. Masa ni masih uzur, tak boleh berdiri, tak boleh jalan. Dari baring ke bangun pun nafas masih penat. Lagi kan nak berjalan sendiri.
Tapi orang sekeliling seakan tak faham. Lama-lama tak boleh jadi, kena jugak usaha untuk tak susahkan orang.
Hari-hari kita cuba bangun duduk, cuba-cuba diri walaupun masa tu nafas kita laju walau pakai oksigen. Kita kuatkan hati. Kita berlatih sendiri. Sabar. Dan muhasabah diri.
Perlahan-lahan cuba bukak oksigen dan berdiri. Cuba melangkah setapak, sesak… Kita duduk.. Kita cuba lagi sampai la kita yakin untuk bangun pergi tandas sendiri. Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan.
Lepas 2 hari, boleh jalan pergi tandas. Sampai tandas, duduk dulu tenangkan diri bagi nafas rileks. Macam tu la keadaaan kita. Sedih. Stress. Nak jumpa mak sangat-sangat.
Tanggal 11 Feb, doktor India datang kat kita, “Amira, esok awak boleh discaj tau.”
Aku genggam tangan doktor sambil bergenang air mata. Alhamdulillah, finally aku dah tak perlu duduk di penjara ni.
12 Feb, pukul 12 tengah hari akhirnya discaj dengan ubat sebakul. Selamat tinggal Hospital Sungai Buloh. Terima kasih Dr Jihan, Dr Haja, doktor pakar, HO, MO dan nurse-nurse Sn Emy, Sn Umi, Sn Thong, Sn Shida dan semua nurse di ICU East Wing.
Terima kasih atas layanan yang baik dan sabar melayankan kerenah Mira masa di ICU. Hanya Allah yang mampu balas.
P/s: Gambar ni berkerut dahi. Sebab dah 33 hari tak tengok cahaya matahari. Macam orang keluar gua. hihi.

Sumber: Meera Ruslan