Siakap Keli
Gambar: Haramain

(Gambar) Selepas Hajar Aswad, Arab Saudi Dedah Gambar Resolusi Tinggi Bekas Tapak Kaki Nabi Ibrahim Pula Kepada Umum

Kalau anda pernah pergi ke Masjidil Haram, mesti takkan boleh lupa untuk singgah ke salah satu tempat suci di sana iaitu Makam Ibrahim. Makam ini terletak di kawasan Mataf, tidak jauh daripada kiblat umat Islam iaitu Ka’bah.

Makam Ibrahim (The Station of Abraham) yang terletak berhampiran Ka’bah menempatkan bekas tapak kaki Nabi Ibrahim AS. Perlu difahami, ia bukanlah tempat pemakaman Baginda Nabi Ibrahim AS, sebaliknya merupakan tempat berdirinya Baginda semasa membina Ka’bah.

Dalam Makam Ibrahim ini, ada sebongkah batu berukuran empat segi yang tersimpan dalam peti kaca dan besi. Pada bongkah batu itu pula terdapat dua lekukan berbentuk bujur yang dalam. Itulah bekas tapak kaki Nabi Ibrahim AS.

Gambar: Haramain Sharifain

Memetik perkongsian di laman portal Madain Project, bekas tapak kaki itu dikatakan wujud ketika Baginda Nabi Ibrahim AS sedang membina struktur Ka’bah, di mana anaknya Nabi Ismail AS berada di atas kedua-dua bahunya ketika itu.

Bekas tapak kaki tersebut berwarna putih, gelap dan perang-keperangan. Panjang bekas tapak kaki itu pula dikatakan mencapai sehingga kira-kira 50 sentimeter, merujuk perkongsian Haramain Sharifain.

Gambar yang dikongsikan oleh Haramain Sharifain ini dikatakan diambil menggunakan teknologi moden terkini. Jelas kelihatan, dua lekukan pada batu yang pernah menjadi tempat Baginda Nabi Ibrahim AS berpijak.

Gambar: Haramain Sharifain

Kewujudan Makam Ibrahim AS ini sudah disebut dalam Al-Quran melalui firman Allah pada Surah Al-Baqarah ayat 125 yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk ibadat haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Maqam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah rumahKu (Ka’bah dan Masjidilharam daripada segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud,”

Gambar: Haramain Sharifain

Jika diperhatikan bettul-betul, jelas kelihatan kesan tapak kaki tersebut pada batu yang masih ‘elok’ terukir walaupun sudah beribu tahun lamanya. Mungkin inilah tanda kekuasaan-Nya untuk dijadikan tatapan umat Islam hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi buat pertama kalinya mendedahkan foto batu suci dari syurga, iaitu Hajar Aswad di mana foto-foto itu diambil dengan resolusi paling tinggi selama tujuh jam.

Sumber: Haramain / Madain Project

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'