Siakap Keli
Gambar: BBC/The Aerospace Corporation/NORSS

Hanya Perlu 90 Minit Untuk Keliling Satu Dunia, Serpihan Roket ‘Long March 5B’ Dijangka ‘Terhempas’ Di Lokasi Ini

Segmen utama roket dari China, Long March-5b dijangka jatuh ke muka bumi pada hujung minggu ini.

Menurut BBC, bahagian teras roket seberat 18 tan itu merupakan salah satu objek terbesar dalam beberapa dekad yang bakal menjunam ke dalam atmosfera tanpa arah.

Ia merupakan bahagian utama roket yang mempunyai kepanjangan 30 meter (hampir 100 kaki) yang digunakan untuk melancarkan modul pertama stesen angkasa China yang baru pada bulan lalu.

Bahagian teras (core) dijangka masuk semula ke atmosfera bumi. (Gambar: Xinhua/BBC)

Ke mana ia akan jatuh?

Memetik portal tersebut, bahagian roket itu dijangka mendarat di kawasan antara latitud 41.5 darjah utara dan 41.5 darjah selatan. Justeru, semua kawasan di dalam latitud berkenaan diramal mempunyai kemungkinan untuk menjadi lokasi terjunamnya roket berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi sebenar pendaratan itu bergantung kepada masa ia jatuh di mana waktu sebenar kemasukan semula roket itu adalah tidak dapat dipastikan.

Gambar: BBC

BACA: Sebut Sahaja ‘Tokyo’ Terus Terbayang Kota Metropolitan, Rupanya Ada Keindahan Alam ‘Tersembunyi’

Keliling bumi setiap 90 minit

Menurut National Geographic, teras roket itu kini bergerak pada kelajuan 18,000 batu perjam, bersamaan kira-kira 28,965 km/j. Malah, ia dipercayai mampu mengelilingi bumi setiap 90 minit. Tampak mengejutkan, bukan?

Namun ia mungkin hanya sekitar 7 peratus kelajuan objek ciptaan manusia yang terpantas mengorbit di angkasa, iaitu NASA’s Parker Solar Probe yang mempunyai kelajuan 244,255 batu sejam (393,044 km/j).

Tambah portal itu, orbit serpihan roket tersebut semakin menyusut sebaik berinteraksi dengan atmosfera Bumi, di mana ia menjadi semakin perlahan dan berkurang altitud.

Bagaimanapun, kadar penyusutan orbit bergantung kepada beberapa faktor antaranya kekuatan angin depan (headwind) serta dinamik dalam pelbagai lapisannya yang sebahagiannya bergantung kepada aktiviti solar yang sukar diramal.

Malah, ketidakpastian masa selama setengah jam boleh membezakan lokasi pendaratannya sama ada mendarat di Illnois atau di bahagian dunia yang lain. -National Geographic

Sementara orbit terus menyusut, ketidakpastian itu akan semakin jelas manakala jangkaan masa dan lokasi kemasukannya akan menjadi semakin mudah diramal, tulis Space-track.org di Twitter.

Anda boleh mengikuti perkembangan semasa lintasan roket itu di Space-track atau ikuti kemaskini The Aerospace Corporation serta LeoLabs di Twitter.

Menurut The Aerospace Corporation, bahagian roket itu dijangka masuk ke atmosfera bumi pada 9 May 2021 07:00 UTC ± 11 jam.

Anda juga boleh mengikuti perkembangan secara langsung di sini.

Perlu ke risau?

Peluang serpihan roket itu mendarat di lokasi berdekatan anda adalah amat kecil, tulis National Geographic. Malah, dengan permukaan bumi yang kebanyakannya diselaputi lautan, membuatkan peluang untuk ia jatuh ke daratan adalah amat tipis.

Sumber: BBC, National Geographic, CNET.com

BACA: Produk Elektrik Berkualiti ‘Harga Kayangan’? Jangan Risau, Guna ‘Trik’ Ini

BACA: Anda Boleh Dapat Bekalan Runcit Percuma Selama 6 Bulan, Ini Caranya

Amira

Love yourself.