Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Sebahagian Janji Temu Vaksin AstraZeneca Pada 15 Dan 16 Mei Dijadualkan Semula

PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) — Sebanyak 2,800 janji temu yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mei ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca (AZ) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dipinda ke tarikh antara 17 hingga 23 Mei ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata penjadualan semula janji temu pada dua hari berkenaan adalah untuk menjamin penjarakan fizikal berikutan peningkatan kes COVID-19, sejak kebelakangan ini.

“Hampir 19,000 janji temu vaksinasi telah ditetapkan pada dua hari tersebut sejajar dengan kapasiti penuh PPV AZ WTC. Bilangan ini akan dikurangkan kepada 8,100 janji temu sehari atau 16,200 untuk dua hari tersebut. Kapasiti penuh di WTC ialah lebih 9,000 sehari,” katanya.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini,  Khairy berkata perubahan tarikh berkenaan akan dimaklumkan kepada penerima vaksin AstraZeneca melalui pesanan ringkas (SMS) dan juga notifikasi aplikasi MySejahtera yang akan dihantar mulai esok (11 Mei).

Bagi memastikan penjarakan fizikal di WTC ditingkatkan, beliau berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah menambah bilangan dewan yang akan digunakan di PPV AZ, WTC.

“Bermula Rabu (12 Mei) ini, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Ismail tidak akan digunakan lagi. Sebaliknya, tiga dewan yang lebih luas akan dibuka iaitu Dewan Merdeka, Dewan Tun Razak 3 dan Dewan Tun Razak 4.

“Dalam usaha mencapai imuniti kelompok dan untuk vaksinasi rakyat Malaysia secepat mungkin, kami seboleh-bolehnya ingin menggunakan kapasiti setiap PPV secara optimum,” katanya.

Bagi mereka yang diletakkan di bawah senarai menunggu bagi menerima vaksin AstraZeneca, Khairy berkata mereka hanya perlu hadir ke PPV setelah dihubungi oleh petugas dan walk-in sama sekali tidak dibenarkan.

Beliau berkata terdapat kira-kira 60,000 orang yang memilih untuk meletakkan nama mereka di bawah senarai menunggu kerana ketiadaan slot.

“Pada setiap hari, satu senarai menunggu kami akan keluarkan kepada PPV AZ  dan mereka yang ada dalam senarai menunggu ini akan diberikan notifikasi di MySejahtera bahawa mereka telah dimasukkan dalam senarai menunggu janji temu pada hari tersebut.

“Jika ada kekosongan, PPV berkenaan akan menelefon mereka yang ada di dalam senarai menunggu tersebut. Oleh itu, sekiranya anda tidak dipanggil oleh PPV, jangan hadir di PPV.

“Petugas di PPV akan membuat panggilan secara beransur-ansur mengikut statistik lebihan vaksin berdasarkan ketidakhadiran penerima berjadual,” katanya.

Khairy berkata penerima vaksin dalam senarai menunggu jika dipanggil, boleh menunjukkan notifikasi MySejahtera kepada anggota keselamatan dalam perjalanan ke PPV di sekatan jalan raya.

Sekiranya mereka yang dalam senarai menunggu tidak dapat hadir walaupun telah mengesahkan kehadiran, pihak PPV akan memberikan vaksin yang telah dibuka kepada bakal penerima yang berada di PPV tersebut bagi mengelakkan pembaziran vaksin kerana ia tidak boleh disimpan semula, katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story