Kebiasaannya atlet wanita yang bermain gimnastik akan memakai sut pakaian yang ketat dan ‘terdedah’, namun apa yang dipilih gadis ini memang tidak dijangka.
Atlet gimnastik Jerman, Sarah Voss memutuskan untuk memakai sut tutup badan penuh ketika beraksi di European Artistic Gymnastics Championships baru-baru ini.
Kata atlet tersebut, sut gimnastik ‘terdedah’ yang biasa dipakainya selama ini dikatakan agak seksi dan menimbulkan rasa tidak selesa sepanjang dia beraksi.
Memetik laporan BBC, ‘perubahan’ pakaian itu tidaklah mengubah semangat sukannya, malah Sarah sebaliknya mengaku dirinya begitu berbangga dengan keputusan itu.
Dalam masa sama, hasratnya untuk menukar sut asal yang seksi kepada sut tertutup turut mendapat sokongan daripada Persatuan Gimnastik Jerman.
“Kami berharap mana-mana ahli sukan yang tidak selesa dengan pakaian biasa (seksi & terdedah) akan berasa berani untuk mengikuti teladan kami,” katanya.
“Kami mahu semua wanita berasa selesa untuk kulit sendiri masing-masing. Dalam sukan gimnastik, kita akan berasa sukar apabila semakin membesar.
“Ketika saya kanak-kanak (sebelum ini) dahulu, memakai sut yang ketat bukanlah satu masalah. Tapi apabila sudah remaja, sudah akil baligh, sudah mula datang haid, saya mula berasa tidak selesa,” katanya.
Penampilan Sarah yang ‘berbeza’ dalam kejohanan ini turut diperakui Persekutuan Jerman bahawa atlet ini berusaha untuk menentang unsur-unsur ‘seksualiti dalam gimnastik’, di samping percaya bahawa ianya lebih penting untuk mencegah penderaan seksual.
Sumber: BBC