Siakap Keli
Gambar: Istana Negara/Google

Erdogan Hubungi YDP Agong, Ucap Selamat Hari Raya & Bincang Usaha Turki-Malaysia Dalam Isu Palestin

Ketegangan yang berlaku di Palestin baru-baru ini menjadi tular dan mendapat perhatian seluruh warga dunia.

Hari ini pula Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah menghubungi Yang Di-Pertuan Agong kita, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui perbualan di telefon.

“Saya meletakkan kepercayaan saya bahawa Turki dan Malaysia akan bekerjasama rapat dalam segala medium yang ada, terutamanya (melalui) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Persatuan Kerjasama Islam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Sementara itu laman Facebook Istana Negara juga memaklumkan hal yang sama; iaitu mengenai perbualan ‘khas’ kedua-dua pemimpin utama ini berkenaan isu pergolakan di Palestin kini.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ketetapan yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk berdiri bersama kerajaan Turki dan komuniti antarabangsa dalam isu Palestin.

Tuanku juga berkata, kerajaan Malaysia meyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan persidangan tergempar OIC bagi membincang isu yang sedang hangat ketika ini.

Perbualan di telefon selama 20 minit itu turut ‘diisi’ dengan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri oleh kedua-dua pemimpin berkenaan termasuk kepada ahli keluarga masing-masing dan rakyat umumnya.

Sumber: FB Recep Tayyip Erdogan / Istana Negara

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'