Siakap Keli

“Jika Dibanding 2020, Langsung Tiada Bazar…,” Peniaga Akur Tutup Bazar Beberapa Hari Sebelum Raya Demi Keselamatan Semua

Benarlah kata pepatah, panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Selepas kerajaan memutuskan penutupan semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam (Isnin), mendatangkan pelbagai reaksi peniaga ada yang menyokong tidak kurang ramai yang tidak bersetuju dengan penutupan bazar.

Biarpun keputusan dibuat kerajaan itu disambut dengan perasaan bercampur-baur, rata-rata peniaga memilih untuk akur dan menutup operasi bazar masing-masing.

Namun, jauh di sudut hati peniaga, sebenarnya timbul rasa pilu dan kecewa, lebih-lebih lagi penutupan dibuat kurang beberapa hari menjelang Aidilfitri.

Mana tidaknya, penutupan operasi itu bukan sahaja menyebabkan peniaga bazar hilang pendapatan, malah lebih teruk terpaksa menanggung kerugian kerana sebahagian peniaga sudah membeli stok barangan untuk diniagakan.

Untung masih belum seberapa, kini menanggung pula kerugian. Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed, berkata pengumuman kerajaan pada 16 Mac lalu yang membenarkan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini memberi nafas baharu kepada peniaga kecil namun ia terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed.

Beliau berkata, arahan pihak kerajaan dan pihak berkuatkuasa yang mahu menghentikan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagaimanapun wajar bagi mengawal penularan COVID-19.

Kata Mohamed Zamri, selain itu Sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) diperkenalkan juga amat membantu dalam mengesan lokasi yang berisiko kepada penularan kes COVID-19.

“Kerajaan sentiasa meneliti prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa. Penutupan kesemua bazar berlaku kerana terdapat pertambahan kes harian dan saya percaya penutupan ini dilakukan selepas mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keadaan ini menyebabkan beberapa negeri melaksanakan PKP secara bersasar dan dibuat berpandukan sistem HIDE yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan KKM,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kata Mohamed Zamri, sebelum pengumuman ini berkuat kuasa, peniaga sudah dimaklumkan tiga hari lebih awal sebelum penutupan bazar secara menyeluruh dan tidak sepatutnya bangkit sebarang isu negatif dari peniaga.

“Jika dibanding 2020, tiada bazar dibenarkan beroperasi dan pada saya kerajaan sudah memberikan kelonggaran kepada peniaga bazar untuk menjalankan perniagaan tahun ini biarpun tidak sepenuhnya sehingga malam terakhir Ramadan.

“Saya faham, kebanyakan peniaga sudah mengeluarkan modal tinggi dan mensasarkan pulangan pada malam terakhir perniagaan, namun mereka perlu lihat dari perspektif utama bahawa penutupan bazar ini amat membantu dalam mengurangkan penularan kes COVID-19.

“Namun, saya mengharapkan pelan pemulihan ekonomi yang akan diumum kerajaan tidak lama lagi membenarkan rakyat bebas bergerak, mengunjungi premis perniagaan dan gerai yang diusahakan peniaga dan penjaja kecil,” katanya.

Sementara itu, berkata biarpun kemeriahan bazar tidak dapat dinikmati sepenuhnya, namun sebagai peniaga beliau akur dengan keputusan penutupan bazar kerana ingin menyumbang peranannya bagi mengekang rantaian COVID-19.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Witus (WITUS), Shiella Tukimin

Katanya, biarpun hanya berpeluang berniaga selama dua jam sehari kerana bazar Aidilfitri hanya dibenarkan operasi sehingga jam 10 malam, tapi dirinya akur dengan penenatapn pihak berkuasa dan yakin setiap garis panduan dijalankan berdasarkan pengamatan profesional.

“Berdasarkan pemerhatian saya, bazar menjadi kawasan tumpuan umum dan ramai yang gagal memenuhi SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal hampir mustahil untuk dilakukan seperti di bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri.

“Penutupan bazar yang berbaki beberapa hari sebelum menjelang hari raya amat wajar dilakukan memandangkan bilangan kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setiap hari berada pada tahap yang sangat membimbangkan bahkan bagi peniaga seperti saya yang terdedah dengan risiko,” katanya.

Katanya, sistem HIDE diperkenalkan juga mampu mencegah pembentukan kluster COVID-19 baharu sekiranya penyenaraian lokasi yang dikenal pasti diambil tindakan awal oleh pihak berkuasa, pemilik premis dan orang awam.

“Perkongsian senarai lokasi dapat membantu masyarakat membuat perancangan perjalanan dan keputusan yang wajar sebelum menuju ke sesebuah lokasi atau premis agar dapat menghindari risiko jangkitan COVID-19.

“Ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premis masing-masing daripada menjadi pusat penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Sebelum penutupan semua bazar di seluruh negara, kerajaan mengeluarkan arahan terbesar dibuat pada 30 April lalu supaya 22 bazar Ramadan daripada 1,073 yang sedang beroperasi di seluruh Malaysia ditutup selepas dikesan wujud ancaman penyebaran COVID-19 berdasarkan pengesanan kontak yang dilaksanakan KKM melalui aplikasi MySejahtera.

Semoga keadaan Malaysia beransur pulih dan baik. Mudah-mudahan pengalaman dialami ini dapat menjadikan rakyat Malaysia lebih sabar dalam mencari rezeki.

Usaha melawan Covid-19 adalah tanggungjawab bersama. Semua pihak mempunyai peranan dalam usaha ini seterusnya boleh menyelamatkan nyawa dan memelihara kehidupan.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.