Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Lelaki Disyaki Tikam Ibu Sendiri Tengah Solat Ditahan

KEPALA BATAS, 11 Mei (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menikam ibunya yang ketika itu sedang bersolat terawih di kediaman mereka Taman Orkid Permai, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10 malam oleh seorang lelaki memaklumkan ibunya ditikam abang kandungnya sebelum terus ke rumah tersebut.

“Ketika polis tiba di rumah itu suspek yang berusia 29 tahun masih berada di situ dan polis menahannya bagi membantu siasatan. Lelaki itu tidak bekerja dan ujian saringan air kencing suspek positif dadah namun dia tiada rekod jenayah lampau.

“Polis turut merampas dua bilah pisau daripada suspek iaitu 31 dan 27 sentimeter panjang berhulu plastik warna hitam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya manakala mangsa berusia 56 tahun yang mengalami kecederaan di tangan kirinya dibawa ke Hospital Kepala Batas dan  menerima 10 jahitan serta difahamkan semasa kejadian wanita itu sedang menunaikan solat tarawih bersama suaminya di ruang tamu sebelum didatangi suspek.

“Suspek tiba-tiba meluru keluar dari biliknya dengan memegang dua bilah pisau lalu menghala ke arah ibu dan bapanya namun bapanya sempat mengelak manakala wanita itu cedera akibat ditikam oleh anak lelakinya yang mempunyai masalah mental sejak 2016 dan kini dalam rawatan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story