Siakap Keli
Foto: Bernama

Persiapan Aidilfitri Musnah, Rumah Terbakar Di Teluk Intan

TELUK INTAN, 11 Mei – Persiapan empat keluarga untuk menyambut Aidilfitri pada Khamis ini musnah selepas rumah yang didiami mereka di Kampung Padang Tembak di sini, terbakar malam tadi.

Menceritakan detik cemas itu ketika ditemui pemberita, seorang daripada mangsa, Bahudin Kulop Wahab, 70, berkata ketika kejadian dia sedang berehat sebelum tiba-tiba mendengar percikan api dipercayai litar pintas di sebelah rumah jirannya yang tidak berpenghuni.

“Apabila menjenguk di luar, ada bahagian rumah pakcik sudah terbakar dan cuba simbah air untuk padamkan api tetapi tidak berhasil. Mujur saya dan isteri (Salamiah Dahari, 56) sempat keluar menyelamatkan diri tetapi tidak sempat selamatkan dokumen penting dan barangan berharga.

“Semua persiapan raya seperti baju raya dan biskut raya yang dihasilkan sendiri oleh anak perempuan saya turut hangus terbakar,” katanya yang tinggal di situ sejak 36 tahun lepas.

Bahudin yang mempunyai tujuh orang anak dan masih bekerja sebagai pemotong rumput berkata dia reda dengan nasib yang menimpa mereka sekeluarga walaupun tidak dapat menyambut Aidilfitri dengan sempurna pada tahun ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Azrul Faizwan Hassan,30, bersyukur ibunya, Maimunah Mohamad, 73, tidak berada di rumah semasa kejadian kerana sedang menjalani rawatan kesihatan di Kuala Lumpur sejak Januari.

“Ibu saya mempunyai penyakit kencing manis dan sakit lutut tinggal di rumah kakak saya di Puchong, Selangor. Kami adik beradik bergotong-royong mengemas dan mengecat rumah ibu sebelum Aidilfitri ini.

“Apabila ibu menerima khabar sedih ini, dia terus menangis dan ketika ini dalam perjalanan pulang ke sini disebabkan kejadian ini. Kami membesar di rumah ini sejak 40 tahun lepas, memang banyak kenangan kami bersama ibu dan arwah ayah di sini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata pihaknya berusaha membantu mendapatkan tempat tinggal sementara kepada kesemua mangsa terlibat.

Menurut beliau ketika kejadian, sebanyak 13 mangsa daripada empat keluarga berada di dalam rumah manakala seorang lagi pemilik rumah tidak berada di situ kerana sedang menjalani rawatan di Kuala Lumpur.

“Setakat ini, dua keluarga akan ditempatkan sementara di Rumah Program Perumahan Rakyat  Laksamana di sini manakala yang lain kita sedang usahakan penempatan sementara untuk mereka.

“Dari segi bantuan lain seperti keperluan makanan kita telah berikan kepada mangsa dan saya juga akan cadangkan agar tapak rumah sedia ada diberikan lot kepada mangsa ini kerana tanah tersebut milik kerajaan,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, lima buah rumah setinggan serta sebuah motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Tembak, Teluk Intan malam tadi namun menurut bomba, kebakaran itu tidak melibatkan mangsa.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang