Siakap Keli

TERKINI: PKP 3.0 Tak Seketat PKP 1.0 Kerana Tidak Mahu Susahkan Rakyat

Kerajaan tidak melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti PKP 1.0 kerana tidak mahu menyusahkan rakyat untuk teruskan hidup.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap keputusan yang dibuat itu perlulah mengimbangi antara keperluan kesihatan dan juga kehidupan rakyat.

“Negara kehilangan RM2.4 bilion sehari apabila kita tutup kesemua sektor ekonomi.

“Dan seperti yang saya sebutkan yang paling terjejas teruk adalah kumpulan peniaga-peniaga kecil yang ketika itu tidak mampu untuk teruskan hidup kerana kita telah menutup peluang perniagaan mereka kerana tidak boleh keluar rumah,” katanya dalam sidang media khas bersama  Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Dalam pada itu, Ismail menjelaskan bahawa keputusan kerajaan melaksanakan PKP ini turut mendapat maklum balas berbeza daripada rakyat, malah tidak semua yang mampu menerima keputusan tersebut.

“Tapi bila kita umumkan PKP 3.0 semalam ada juga yang marah, kenapa kita tak buat PKP 1.0? Kita buat PKP 3.0 pun ramai orang marah, PKP 1.0 pun ramai orang marah.

“Jadi tentunya kita tidak boleh memuaskan hati semua,” tambahnya lagi.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'