Siakap Keli

(Video) Tindakan Tetap Diambil Terhadap VIP, Artis Atau ‘Kayangan’ Jika Langgar SOP – Ismail Sabri

Akhir-akhir ini banyak isu mengenai prosedur operasi standard (SOP) menjadi perbualan netizen, salah satu dakwaan mereka adalah tindakan undang-undang yang dikenakan didakwa ‘berat sebelah’ dan ‘berbeza’.

Bagaimanapun semua dakwaan tersebut terjawab apabila Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa tindakan yang diambil tidak akan mengira status pelaku itu.

Jelas Ismail, walaupun tindakan undang-undang tersebut memakan masa sehingga dua ke tiga minggu, namun ia tetap dilaksanakan dan ini terbukti dengan kes seorang selebriti terkenal yang dikompaun kerana langgar SOP baru-baru ini.

Malah tambah Ismail, sebenarnya pihak berkuasa berhak untuk mengeluarkan kompaun berkenaan di lapangan serta-merta dan ianya termaktub dalam akta.

“Kita berpandangan bahawa sesiapa sahaja terutamanya yang melibatkan VIP seperti selebriti, orang politik dan sebagainya, kalau didapati ada perlanggaran SOP, pihak polis perlu keluarkan kompaun di lapangan.

“Tidak perlu tunggu sehingga berminggu-minggu untuk dapatkan keputusan daripada Jabatan Peguam Negara. Sebab dalam akta memang mereka boleh keluarkan kompaun di lapangan.

“Jadi saya percaya, kalau keluar (kompaun) di lapangan, barulah tidak ada salah faham daripada rakyat terhadap tindakan kerajaan. Bagi kita, sesiapa sahaja, VIP ke, kayangan ke, rakyat ke, siapa yang salah, dia tidak akan terlindung oleh undang-undang,” katanya.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita selepas selesai menyampaikan sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah petang tadi.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada rakaman video BERNAMA di bawah ini:-

Sumber: BERNAMA TV

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'