Siakap Keli
Gambar: KKM

Diurus Ikut Agama Masing-masing, KKM Dedah Foto Pengurusan Mayat & Jenazah Pesakit COVID-19 Buat Pertama Kali

Wabak COVID-19 yang kembali ‘mengganas’ akhir-akhir ini sangat membimbangkan kita semua. Jangankan kata kes positif harian yang semakin melonjak hari demi hari, malah katil untuk pusat rawatan COVID-19 dan hospital juga kian ‘sesak’.

Tidak cukup dengan itu, wad unit rawatan rapi atau disebut sebagai ICU pun tidak kurang sesaknya. Hingga dikatakan wad-wad ICU di beberapa hospital utama turut dilaporkan telah penuh, selain bilik mayat pun tidak lagi mampu menampung jenazah-jenazah pesakit COVID-19 kerana bilangannya terlalu ramai.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu perkongsian di Facebook hari ini menyatakan bahawa kes-kes kematian pesakit COVID-19 yang berlaku setiap hari adalah berada di bawah tanggungjawab mereka.

Difahamkan, bagi Hospital Sungai Buloh misalnya, segala pengurusan jenazah dan mayat-mayat pesakit COVID-19 adalah diamanahkan kepada kakitangan Jabatan Perubatan Forensik bermula dari A sampai ke Z.

Dikatakan selepas proses pengecaman mayat oleh waris si mati, maka jenazah dan mayat itu akan diuruskan mengikut agama masing-masing, daripada mandi hinggalah ke proses pengebumian dengan prosedur yang ketat.

Difahamkan, bagi jenazah Islam, urusan mandi jenazah tidak lagi menggunakan air seperti mayat biasa, tapi akan dibuat secara tayammum (tanpa air).

Manakala bagi proses mengkafan dan solat jenazah, ia akan diketuai oleh seorang ustaz daripada kalangan orang awam yang telah dilatih khas oleh KKM.

Berikut di bawah adalah foto-foto situasi ‘mempersiapkan’ mayat dan jenazah pesakit COVID-19.

Gambar: KKM

Dua petugas kesihatan yang baru sahaja menerima mayat COVID-19 dari wad sedang menuju ke forensik.

Gambar: KKM

Suasana jenazah pesakit COVID-19 yang sedang dikafankan.

Gambar: KKM

Urusan solat jenazah yang dipimpin oleh seorang ustaz yang dilantik khas.

Gambar: KKM

Proses pengurusan mayat pesakit COVID-19 yang dijalankan mengikut agama masing-masing.

Gambar: KKM

Suasana di perkarangan hospital sebelum mayat atau jenazah dihantar ke tanah perkuburan.

Gambar: KKM

Pada foto terakhir ini KKM berpesan melalui kapsyen yang berbunyi:

“(Ini) sebahagian kakitangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh. Dengan peningkatan kes kematian, sudah pasti mereka semakin keletihan. Doakan mereka diberi kesihatan yang baik untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Duduk di rumah, jaga diri dan keluarga.”

Sumber: KKM

"