Siakap Keli
Gambar: The Culinary Pro

“Berpotensi Menyebabkan Kanser”, Ahli Kimia Dedahkan Bahaya Lapisan Hitam Dalam Kuali Yang Perlu Dibersihkan

Kuali adalah salah satu alatan yang penting untuk digunakan ketika memasak.

Justeru daripada itu, kebersihan kualiti tersebut perlu lah dititik beratkan bagi memastikan makanan yang dimasak itu terhindar daripada segala kekotoran.

Jika kuali itu tidak dibersihkan, makanan yang dimasak itu akan tercemar dan ianya akan menjerumus kepada masalah kesihatan.

Mungkin ada sesetengah yang terlepas pandang dengan keadaan kuali mereka yang hitam legam. Pun begitu, menurut ahli kimia bernama Dr Fatimah Salim ini, keadaan itu boleh menyebabkan penyakit kanser.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan perkara itu, ikuti penjelasannya seperti berikut:

ADA APA DENGAN KUALI HITAM LEGEND??

Ramai yang mungkin tidak kisah dengan keadaan kuali atau periuk yang hitam legam. Legend katanya.
Tahukah anda peralatan memasak sebegini berbahaya?
YA. Lapisan hitam ini sebenarnya terbentuk daripada mendakan bahan masakan dan minyak yang terhangus dan dibiarkan lama sebati tanpa disental atau dikikis.
Lapisan ini berpotensi menyebabkan kanser kerana ianya mengandungi bahan-bahan kimia seperti polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs), heterocyclic amines (HCAs) acrylamide dan furans. Bahan-bahan kimia ini akan bercampur dalam masakan kita setiap hari yang kita hidangkan kepada anak-anak.
Maka, usah berfikir panjang lagi. Segera bersihkannya bagi mengelakkan masalah kesihatan di masa hadapan. Benar, bahan-bahan kimia ini memang sentiasa ada dalam makanan yang dipanggang atau dimasak dengan suhu yang tinggi sehingga hangus, namun usahlah sengaja menambah punca.
Tips untuk membersihkan lapisan karbon ini adalah:
• Panaskan peralatan memasak dengan api. Tuangkan air perlahan-lahan dan biarkan air di dalam peralatan ini mendidih selama 10-15 minit. Kemudian tuangkan setengah cawan baking soda dan biarkan ianya mendidih seketika. Matikan api dan kikis perlahan permukaan ini dengan menggunakan senduk bersesuaian. Tunggu sejuk dan sental.
• Boleh juga gantikan bes lain seperti sabun cuci baju. Setelah biarkan periuk mendidih selama 10-15 minit. Matikan api, alihkan dan tuangkan sabun cuci sesetengah cawan. Rendam sekitar 1 jam atau lebih lama bergantung kepada tahap kekotoran. Apabila kelihatan mudah dikikis, buangkan air sabun rendaman dan sental.
• Jika kesan hitamnya tidak teruk, boleh saja tuangkan baking soda tanpa pemanasan dan sental. Atau gantikan bahan berbes dengan bahan berasid seperti cuka makan, air asam jawa, asam keping… Namun baunya agak kuat jika dibandingkan baking soda.
Pemanasan membantu menanggalkan kesan hangusan dengan lebih mudah kerana bertambahnya tenaga kinetik molekul-molekul dalam ikatan metalik peralatan memasak dan lapisan hangusan itu juga.
Nota:

1) Dalam keadaan yang pekat, bahan-bahan kimia ini bersifat menghakis, maka boleh membantu dalam proses pembersihan. Cuma berhati-hati dengan air panas dan sifat yang boleh merengsa.

2) Peralatan yang telah berkilat tadi perlu dibentuk lapisan oksida untuk mengurangkan risiko bocoran logam. Maka, boleh lah merebus air beberapa kali sehingga lapisan kelihatan pada permukaan, sebelum digunakan seperti biasa.

Sumber: Fatimah Salim

Aqmal Ezany

I write what is right