Siakap Keli

Rumah Dulu-dulu Selalu Guna, Akak Ni Saran Guna Blok Bata Angin Kalau Tengah “Renovate” Rumah, Kediaman Bertambah Cantik & Moden

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Salah satu bahan asas binaan sesebuah rumah kediaman sudah semestinya batu bata bagi rumah batu dan papan bagi rumah kayu. Batu bata ada jenis-jenisnya tersendiri, papan pun ada jenisnya juga.

Perasan tak, kebanyakan rumah di kawasan kampung sama ada rumah papan mahupun batu, ada sebahagian strukturnya dibina dengan batu blok yang berlubang-lubang. Ia tidak tertutup penuh, namun lubang itu dibentuk mengikut corak atau rekaan tertentu.

Tahukah anda, bata blok angin atau disebut sebagai breeze block sangat terkenal dan banyak digunakan di rumah-rumah kampung satu ketika dahulu. Biasanya bata jenis ini berbentuk segi empat tepat atau segi empat sama.

Rekaan lubangnya pula ada kalanya berbentuk seakan bunga. Ada juga yang berbentuk bulat. Walaupun berbeza ‘coraknya’, namun ada sebab penting kenapa lubang-lubang itu dicipta.

Gambar: Huda Mahmud

Menurut pengguna Twitter bernama Huda Mahmud yang juga merupakan lulusan bidang seni bina, lubang-lubang yang ada pada bata tersebut adalah berfungsi untuk membenarkan pengudaraan semulajadi.

Selain itu, ia juga boleh menjadi ‘laluan’ untuk angin yang menerjah lalu, sekaligus membuatkan suhu kediaman itu menjadi ‘sejuk’ berangin. Dalam masa sama, ia turut menjadi sumber pencahayaan bagi ruang dalaman rumah.

Penggunaan bata blok angin ini sangat terkenal pada ketika itu, namun peredaran zaman membuatkan manusia beralih kepada konsep yang lebih moden. Kini kebanyakannya lebih memilih untuk memasang alat penyaman udara sahaja di rumah.

Walaupun fungsinya mungkin ‘tidak’ seperti dulu, namun bata blok angin ini masih ‘laris’ dalam pasaran bahan binaan. Kini bata blok angin ini direka dengan pelbagai rekaan baharu yang lebih moden, sesuai dengan keadaan rumah.

Gambar: Huda Mahmud

Kebanyakan rumah pada hari ini dibina dengan dinding yang tertutup penuh. Maka dengan itu, bata jenis ini umumnya dipilih sebagai ‘alat’ dekorasi rumah yang menjadi hiasan cantik.

Gambar-gambar yang dikongsikan Huda ini merupakan antara contoh-contoh bata blok angin yang diimport dari Vietnam ke negara ini dan dijual oleh pembekalnya, Viettiles Malaysia.

Kalau anda lihat coraknya pun, ia tidak lagi ‘berbunga’ macam rumah kampung dulu-dulu, malah ia kelihatan lebih ‘berseni’ dan unik pada hari ini. Memang ia diberi nafas baharu dalam dunia pembinaan.

Manakala di bawah ini pula adalah jenis-jenis bata blok angin yang mungkin menjadi tatapan anda untuk digunakan di rumah masing-masing.

Gambar: Huda Mahmud

Pandangan, perkongsian & soal jawab netizen

Sementara itu, ada netizen yang mengikuti ciapan ini turut berkongsi tentang sesetengah bangunan di pelbagai lokasi di negara ini yang menggunakan bata jenis ini. Salah satunya adalah di Petaling Jaya.

Menurut netizen bernama Ahmad Asyrani, bangunan Pusat Dagangan Petaling Jaya (PJ Trade Center) juga turut menggunakan bata blok angin ini sebagai pelindung cahaya matahari di bahagian timur bangunan.

Dalam masa sama, kelebihan lain bagi penggunaan bata blok angin pada bangunan ini adalah ia mampu ‘menaikkan’ lagi seri di mana terdapat beberapa pokok jenis bergantungan yang ditanam di sini.

Apabila turunnya hujan, tempias daripada air hujan yang melalui lubang-lubang di dinding bangunan ini mampu ‘diserap’ bagi membekalkan sumber air kepada pokok-pokok gantung tersebut.

Gambar: Ahmad Asyrani melalui Twitter
Gambar: Ahmad Asyrani melalui Twitter

Selain itu, ada netizen yang bertanya kepada Puan Huda berkenaan konsep pemasangan bata blok angin tersebut. Difahamkan, penyusunan setiap blok ini amat mempengaruhi laluan angin bagi memberi rasa sejuk di bahagian dalaman rumah.

Jawab Puan Huda, memang benar bata blok angin ini perlu dibuat di bahagian bawah dan atas bagi memberi laluan kepada angin panas dan angin sejuk untuk keluar masuk. Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada keadaan ruang.

Selain itu, ada netizen memberi pandangan bahawa pemasangan bata blok angin ini perlu disekalikan dengan jaring bagi mengelakkan sebarang serangga atau haiwan ‘menceroboh’ masuk ke dalam rumah.

Ulas Puan Huda, sebenarnya konsep bata blok angin ini sudah pun terkenal lama sejak 40 tahun lalu seperti yang dikatakan pada awal artikel tadi. Ketika itu, kediaman yang menggunakan bata jenis ini memang bergantung kepada sumber penyejukan semulajadi.

Manakala netizen seterusnya pula bertanya, bagi mereka yang tinggal di kediaman jenis pangsapuri, bagaimana untuk mengubah suai sebahagian dinding di rumah dengan bata blok angin ini.

Jelas Puan Huda, bahagian paling sesuai untuk diubah suai dengan bata blok angin ini ialah di halaman belakang rumah. Tambahnya, kediaman pangsapuri atau pangsa ketika dulu-dulu memang menggunakan bata blok angin ini di bahagian depan rumah.

Namun kini konsep penggunaan bata blok angin di mana-mana kediaman jenis pangsa dan pangsapuri tidak lagi diamalkan. Kebanyakan bangunan kediaman pada hari ini dibina ‘penuh’ tanpa lubang, selain penghuni lebih selesa dengan alat penyaman udara.

Bagi soal ketumpatan bahannya, jelas Puan Huda, bata blok angin pada zaman kini umumnya dibuat menggunakan bahan konkrit, jadi risiko ‘kurang tumpat’ disebabkan rekaannya yang berlubang-lubang itu dipercayai tiada.

Begitulah sedikit-sebanyak mengenai bata blok angin ini. Mungkin ada antara anda yang bercita-cita untuk membina rumah di atas tanah sendiri, bolehlah menimbang tara tentang penggunaan bata ini. Selamat mencuba & semoga bermanfaat.

Sumber: Twitter Huda Mahmud / Viettiles Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'