Siakap Keli
Gambar: Bernama

Boikot Coca-Cola Hanya Akan Jejaskan Pekerja Tempatan

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Gesaan agar orang ramai memboikot produk Coca-Cola akan hanya memberi kesan terhadap pekerja tempatan syarikat itu.

Coca-Cola Malaysia dalam kenyataannya hari ini berkata selain itu pihak yang paling terkesan dengan tindakan boikot ini termasuk ribuan peruncit, pengedar dan pembekal di seluruh rantaian bekalan dalam negara yang bergantung kepada operasi perniagaan sebagai sumber pendapatan mereka.

Syarikat itu menekankan walaupun Coca-Cola merupakan jenama global, namun semua operasi pembotolan syarikat itu di Malaysia dibuat dalam negara.

“Coca-Cola diproses dan dibotolkan di Malaysia untuk rakyat Malaysia oleh rakyat Malaysia. Di Malaysia, Coca-Cola telah beroperasi lebih 85 tahun dan menjadi keutamaan kami untuk terus komited dalam membantu rakyat Malaysia dari segi bantuan sosial dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan syarikat itu menerima maklumat terdapat beberapa individu memboikot produk Coca-Cola akibat khabar angin yang tular di media sosial serta salah faham tentang komitmen syarikat itu di Timur Tengah.

Coca-Cola Malaysia memaklumkan syarikat itu prihatin terhadap pergolakan yang berlaku antara Israel dan Gaza serta kesannya terhadap penduduk di rantau Timur Tengah.

“Kami tidak menyokong atau menentang mana-mana tujuan berkaitan agama mahupun memihak kepada mana-mana negara lebih daripada yang lain di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right