Siakap Keli
Kredit: Google

Bayi Lelaki Dihurung Semut Diselamatkan

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Bukan sahaja dibiarkan dalam kesejukan, malah seorang bayi lelaki tanpa berpakaian dan masih bertali pusat dibiarkan dihurung semut, dipercayai ditinggalkan oleh ibunya di belakang sebuah rumah seorang lelaki warga asing di Kampung Kayu ara, Petaling Jaya, di sini.

Bayi berkenaan yang masih hidup itu ditemukan kira-kira 4.50 pagi di dalam beg plastik hitam diletakkan di atas meja oleh orang awam yang melalui kawasan perumahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan berkenaan selepas mendengar tangisan bayi terbabit.

“Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai bukan berasal dari kawasan perumahan berkenaan kerana tiada penduduk wanita yang sedang mengandung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata bayi lelaki itu telah diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata tiada sebarang dokumen berkaitan ditemukan bersama bayi yang dipercayai baru berusia sehari berdasarkan tali pusat pada bayi itu.

“Sekarang bayi ini berada di HKL dan polis akan menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi,” katanya.

Beliau juga meminta mana-mana individu yang melihat atau mempunyai maklumat tentang kejadian ini, diminta menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah Insp Adam Firdauz Ahmad di talian 012-7565464 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di 03-79662176.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.