Siakap Keli
Gambar Hiasan via Kediriapik

Dosa Terhapus Dengan Solat Sunat? Ini Penjelasan Dari Pejabat Mufti WP

Selain mengerjakan ibadat wajib, umat Islam juga boleh melakukan ibadat sunat untuk menambah pahala. Antaranya ialah solat sunat. Pelbagai ganjaran yang boleh didapati menerusi ibadat sunat, namun timbul persoalan mengenai amalan solat sunat.

Antaranya ialah adakah solat sunat ini dapat menghapuskan dosa-dosa kita, sebagai hamba Tuhan yang penuh khilaf?

Jadi, Mufti Wilayah Persekutuan ada berkongsikan jawapan mengenai pertanyaan ini. Ikuti penerangannya di bawah.

Soalan: Apakah benar terdapat hadith yang menyatakan tuntutan bagi orang yang melakukan dosa untuk menunaikan solat dua rakaat?

Ringkasan Jawapan: Hadith yang menceritakan berkaitan tuntutan bagi orang yang melakukan dosa untuk menunaikan solat dua rakaat merupakan hadith yang sanadnya dinilai hasan (baik) oleh para ulama. Di samping itu, hadith itu menunjukkan galakan untuk menyertakan atau menyegerakan amal soleh apabila melakukan dosa (dosa kecil).

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Setiap insan tidak akan terlepas daripada melakukan dosa melainkan yang terselamat daripada melakukan dosa ini adalah para nabi dan juga para rasul. Apabila begitu, maka menjadi kewajipan ke atas kita sebagai manusia biasa untuk sentiasa memohon keampunan kepada-Nya di atas setiap dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan.

Ini kerana, Nabi SAW yang kita ketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tetap tidak pernah meninggalkan untuk memohon ampun kepada Allah dengan melazimi istighfar. Di dalam sebuah hadith ada diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]

Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith sebagaimana yang dinyatakan:

  • Daripada Abu Bakar al-Siddiq RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا، فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ، إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ، ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ: {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ} [آل عمران: 135] إِلَى آخِرِ الْآيَةِ

Maksudnya: “Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba Allah) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wudhuknya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Setelah itu, Nabi SAW membaca ayat 135 dari surah Ali Imran: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah.” sehingga ke akhir ayat tersebut.” [Riwayat Abu Daud (1521)]

Shaykh Abd al-Muhsin al-‘Abbad ketika mensyarahkan hadith di dalam salah satu daripada pengajiannya, beliau mengatakan bahawa amalan soleh boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Adapun dosa besar, yang boleh menghapuskannya adalah amalan soleh berserta taubat.

Shaykh Mahmud al-Subki menyatakan hadith ini juga menunjukkan dalil galakan untuk memperelokkan wudhuk dan solat dua rakaat serta istighfar apabila melakukan sesuatu dosa. Sekiranya seseorang itu melakukan sedemikian, maka akan diampunkan dosa tersebut baginya. [Lihat: al-Manhal al-‘Azb al-Mawrud, 8/183]

Antara dalil yang menunjukkan bahawa dosa kecil boleh terhapus dengan amalan soleh adalah berdasarkan nas daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW:

  • Firman Allah SWT:

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

al-Nisa’: 31

Maksudnya: “Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu.”

  • Daripada Abu Zar al-Ghiffari dan Mu’az bin Jabal R.anhuma berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا

Maksudnya: “Sertakanlah setiap dosa (dosa kecil) yang kamu lakukan dengan kebaikan (amal soleh) yang mana kebaikan itu akan menghapuskan dosa tersebut.” [Riwayat al-Tirmizi (1987)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

Untuk itu, jelaslah kepada kita bahawa dosa-dosa kecil boleh terhapus dengan amalan soleh yang kita lakukan. Oleh sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa memperbanyakkan amalan soleh agar amalan-amalan tersebut boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak sedar. Tambahan pula, dosa besar perlu kepada taubat dan tidak cukup hanya melakukan amalan soleh sahaja. Kami juga pernah menerbitkan artikel berkaitan maksud dosa besar dalam al-Afkar siri ke-66 yang boleh diakses di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan tuntutan bagi orang yang melakukan dosa untuk menunaikan solat dua rakaat merupakan hadith yang sanadnya dinilai hasan (baik) oleh para ulama. Di samping itu, hadith itu menunjukkan galakan untuk menyertakan atau menyegerakan amal soleh apabila melakukan dosa (dosa kecil). Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dan kekuatan dalam mengamalkan agama Islam. Amin.

Wallahua’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nurul Nabila