Setelah beberapa minggu kapal selam Tentera Nasionalis Indonesia (TNI), KRI Nanggala 402 ditemui di dasar perairan Bali, kini ada satu lagi penemuan baharu yang mengejutkan ramai pihak umumnya kerajaan dan rakyat Indonesia sendiri.
Mengimbas semula, walaupun ketika itu hanya sebahagian serpihan kapal sahaja yang berjaya ditemui dan diangkat naik ke darat, kerajaan optimis bahawa masih banyak lagi serpihan kapal yang hilang dan perlu dicari.
Maka usaha pencarian masih berjalan hingga ke hari ini dan antara pihak terlibat ialah China melalui kapalnya, Tan Suo Er Hao. Kapal tersebut dilapor menjalankan tinjauan di dasar laut yang berkedalaman kira-kira 839 meter itu.
Operasi selaman (dive operation) itu menfokuskan tiga pencarian iaitu bahagian depan kapal (bow section), anjungan kapal (sail section) dan belakang (stren section), bagaimanapun misi itu dikejutkan dengan penemuan sebuah kawah bawah laut yang misteri.
Kawah berlumpur misteri jadi tanda tanya
Pangkormada II Laksamana Muda Iwan Isnurwanto dalam satu sidang media baru-baru ini menjelaskan, kawah misteri itu dipercayai bersebelahan dengan lokasi badan KRI Nanggala tenggelam dan ditemui.
“Ada satu perkara di sana, tempat crater atau kawah yang lebarnya lebih kurang berdiameter 38 meter dengan kedalaman kira-kira 10 ke 15 meter. Ini yang sampai saat ini kita belum mengetahui apa sebenarnya kawah tersebut.
“…untuk operasi selaman keempat, fokusnya adalah pada kawah ini. Kawah ini yang difokuskan pun mereka belum boleh menemukan apa sebenarnya di dalamnya. Kerana ini adalah posisi gelap seperti yang dilihat dalam slide,” katanya.

Selain itu, dakwa Iwan, kawah misteri itu juga mempunyai lumpur tanah di dalamnya. Atas sebab itulah serpihan KRI Nanggala yang ditemui tempoh hari diselaputi lumpur.
“Kita sampai sekarang belum tahu (sepenuhnya) tentang kawah ini dan kami mahu menyatakan bahawa ini ialah lumpur. Sehingga banyak di sini (tunjuk di slide) bonjolan-bonjolan ini boleh jadi adalah badan kapal yang tertimbus di bawah lumpur, tapi imbasan sonar yang kita guna belum dapat kesan sebarang objek logam lagi setakat ini,” tambahnya.
Operasi seterusnya yang kapal China itu perlu fokus adalah di kawasan dalam kawah tersebut, selain turut akan memperluaskan lagi radius pencarian menggunakan imbasan sonar. Difahamkan bahagian kapal KRI Nanggala seperti bow, stern dan sail section masih dicari dan satu lagi yang penting belum ditemui ialah bahagian utama kapal selam di ruang tengah iaitu pressure hull sepanjang 45 meter.
Hujah pakar tentang kawah bawah laut
Sementara itu Pakar Geofizik Maritim Institut Teknologi Sepuluh November (ITS) Surabaya, Mahmud Mustain menjelaskan terdapat beberapa teori yang berhubung kait dengan kawah tersebut.
“Cengkungan yang ada di kedalaman laut seperti itu boleh jadi merupakan permukaan yang mengalami penurunan dasar tanah. Hal itu disebabkan oleh aktiviti dan eksplorasi sumber minyak dan gas bumi. Di kawasan yang di bawahnya banyak minyak disedut, kemudian akan terjadi penurunan permukaan dasar laut.
“Selain itu, kawah itu juga mungkin disebabkan oleh aktiviti letusan gunung berapi bawah laut di sekitarnya. Hal itu terjadi ketika letusan yang berlaku bertahun-tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pakar Geologi Pusat Kajian Bencana ITS, Amien Widodo pula menjelaskan, kewujudan kawah di dasar laut Bali adalah bersaiz sangat kecil kerana jalur magma antara gunung berapi tidak melalui kawasan tersebut.
Malah jelasnya, apa yang ditemui itu bukanlah kawah tetapi cengkungan di dasar laut atau disebut palung. Ia terjadi disebabkan aliran ombak di dasar laut di bahagian utara Bali yang sangat deras.
Sumber: Detik News / CNN Indonesia