Siakap Keli
penyanyi

Taktik Sembunyi Rokok Seludup Dalam Timbunan Ikan Eksport Tumpas

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Taktik menyembunyikan rokok untuk diseludup ke negara jiran di dalam timbunan ikan segar eksport bagi mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya tumpas menerusi satu pemeriksaan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Sultan Abu Bakar di sini pada 3 Mei lepas.

Pengarah JKDM Negeri Johor Sazali Mohamad berkata sindiket itu dikesan anggota dan pegawai penguat kuasa kastam bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) terhadap sebuah lori tiga tan yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun dan kelindannya, berusia 30 tahun pada 6.20 petang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, sebanyak 257,400 batang rokok tidak bercukai dan tidak mendapat kelulusan kastam bernilai RM61,776 ditemukan di sebalik timbunan ikan yang diletakkan di dalam 12 tong dalam muatan lori berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan selepas kami dapati ada keraguan dan menimbulkan syak dari segi bilangan atau kuantiti permit yang dimohon dengan berat ikan serta bilangan tong yang digunakan.

“Ikut logik untuk tong yang digunakan boleh dimuatkan lebih kurang 1.3 tan ikan tetapi permit yang dipohon adalah dalam 700 kilogram sahaja,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.

Bagaimanapun hasil siasatan terhadap pemandu dan kelindan terbabit, mendapati kedua-duanya tidak mengetahui tentang sindiket itu dan telah dibebaskan dengan jaminan oleh pihaknya.

Sazali berkata pihaknya setakat ini sedang menyiasat syarikat pengeksport yang beralamat di Kulai serta ejen penghantaran yang terlibat dalam mengikrar ikan yang didapati diperoleh dari sekitar Pontian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berlainan pula, pihaknya merampas sebanyak 117 kotak mercun dan bunga api bernilai RM103,372 termasuk cukai menerusi satu serbuan di sebuah rumah di kawasan perkampungan di Segamat pada 5 Mei lepas.

Sazali berkata turut ditahan dalam serbuan pada 1.45 pagi itu adalah seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 31 dan 32 tahun.

Katanya modus operandi kes berkenaan adalah dengan menjadikan rumah sebagai tempat penyimpanan barang-barang larangan iaitu mercun dan bunga api yang tidak berkastam untuk mengaburi pihak berkuasa.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.