Siakap Keli
Gambar: Fox32Chicago

(Video) Mendebarkan, Detik Cemas Budak Perempuan Dilapor Nyaris Diculik Ketika Tunggu Bas Sendirian

Seorang kanak-kanak 11 tahun berhadapan detik cemas apabila dipercayai nyaris diculik seorang lelaki di Pensacola, Florida pada pagi Selasa.

Lapor Fox32Chicago, rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak berkenaan sedang menunggu bas sendirian sekitar jam 7 pagi di kawasan berumput berhampiran hentian bas tempatan.

Secara tiba-tiba, sebuah kenderan berwarna putih datang dan berhenti pada jarak beberapa meter sebelum seorang lelaki keluar daripada kenderaan itu.

Lelaki berkenaan kemudiannya berlari ke arah kanak-kanak itu dan menariknya, dipercayai cuba mengheret mangsa masuk ke dalam kereta.

Tambah portal itu, kanak-kanak tersebut berjaya melepaskan diri daripada serangan lelaki yang didakwa bersenjatakan pisau terbabit.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan telah mengesan kenderaan berkenaan yang mana telah dicat semula dipercayai sebagai usaha untuk mengelak dari dikesan, lapor Fox32Chicago.

Menurut portal itu, suspek kini berada dalam tahanan polis sejak ditahan petang semalam.

Terdahulu, kanak-kanak berkenaan dilaporkan pernah memberitahu guru besar sekolahnya bahawa terdapat seorang lelaki menaiki kenderaan putih telah berhenti dan menegurnya di hentian bas dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada suspek yang ditahan merupakan individu yang sama atau sebaliknya, tulis portal itu.

Sumber: Fox32Chicago

Amira

Love yourself.