Siakap Keli
Gambar: Bernama

Peningkatan Kes COVID-19 Di Melaka, Kelantan Berpunca Aktiviti Ziarah Hari Raya

MELAKA, 21 Mei (Bernama) — Peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dan kemunculan beberapa kluster baharu di Melaka dalam tempoh beberapa hari lepas, dipercayai berpunca daripada aktiviti ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata, mereka yang dikesan positif COVID-19 mengaku menziarahi sanak-saudara dah ahli keluarga lain, walaupun larangan tersebut telah dikeluarkan sebelum ini.

“Memang betul ada kes kluster positif COVID-19 yang dikesan di Melaka baru-baru ini, dipercayai berpunca daripada aktiviti ziarah hari raya dan ia adalah sebahagian penyumbang peningkatan kes positif.

“Kalau dilihat dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ziarah hari raya tempoh hari, masih ada yang tidak mematuhi SOP tersebut, dalam diam-diam bertemu keluarga dan ada kes menziarah dari luar daerah dan luar Melaka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan kes positif COVID-19 di negeri itu, mencatatkan angka harian tertinggi sepanjang penularan wabak itu dengan 212 kes dan empat kematian.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata salah satu kluster baharu yang dipercayai berpunca daripada aktivti berkenaan ialah, Kluster Batu Lapan Bukit Rambai melibatkan kes indeks seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata setakat semalam, sebanyak 28 kontak rapat telah disaring dan 12 daripada mereka dikesan positif COVID-19.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penularan jangkitan COVID-19 di kawasan Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang di negeri itu dipercayai berpunca daripada aktiviti ziarah Hari Raya.

Menurutnya, ia berlaku apabila seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang menetap di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, pulang ke Kampung Teluk Renjuna dipercayai untuk menyambut perayaan Aidilfitri.

Zaini berkata, JKNK menerima maklumat berhubung keberadaannya daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pasir Mas pada 11 Mei, dan wanita berkenaan disahkan positif COVID-19 pada 13 Mei.

“Wanita berkenaan merupakan kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19, tetapi sama ada daripada ahli keluarga yang serumah dengannya atau faktor lain masih dalam pengesahan.

“Bagaimanapun, sama ada wanita terbabit berkunjung ke tempat lain atau orang lain berkunjung ke rumahnya, semuanya ada kemungkinan. Tidak boleh hanya kata dia sahaja yang bergerak,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right